Karen Kasturi dilantik wakil M'sia ke ADLA, kukuh kepimpinan demokratik serantau
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Malaysia terus memperkukuh kedudukan dan suara dalam kepimpinan demokratik serantau apabila Karen Kasturi, pemimpin politik wanita muda, dipilih sebagai Wakil Negara Malaysia ke Asian Democratic Leaders Alliance (ADLA) bagi penggal 2025–2028.
Pelantikan itu dimuktamadkan semasa Majlis Ulang Tahun ke-15 Konrad Adenauer Stiftung Young Political Leaders Caucus (KASYP) yang berlangsung di Singapura pada 22 Oktober 2025, menghimpunkan komuniti ADLA daripada Batch 1 hingga Batch 15 yang mewakili pelbagai generasi pemimpin politik di Asia.
"Pemilihan ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai demokrasi, kepimpinan beretika dan kerjasama serantau.
"Saya berhasrat untuk menyumbang ke arah Asia yang lebih inklusif, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat," kata Karen Kasturi dalam kenyataan.
ADLA merupakan pakatan serantau pemimpin dan organisasi politik di Asia yang berkongsi komitmen untuk memastikan demokrasi benar-benar berfungsi untuk rakyat. Ia adalah badan bebas, tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan disokong oleh Konrad Adenauer Stiftung (KAS) melalui Regional Programme Political Dialogue Asia yang berpusat di Singapura.

Bagi penggal baharu ini, ADLA menghimpunkan wakil daripada 14 buah negara Asia, termasuk Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Singapura, Jepun, Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Filipina, Mongolia, Kazakhstan, Taiwan dan Timor-Leste.
Pakatan ini berperanan memperkukuh kepimpinan demokratik dan tadbir urus baik di rantau Asia melalui Pembentukan komuniti kepimpinan berakauntabiliti; Penyediaan platform pembelajaran serta dialog dasar awam, keamanan dan pembangunan mampan; dan pemupukan rangkaian inklusif yang menekankan integriti dan nilai demokrasi.
Karen Kasturi yang juga Ahli Exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat KEADILAN serta Timbalan Bendahari Wanita Pusat, aktif mewakili Malaysia dalam pelbagai platform antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita, orang muda dan reformasi tadbir urus.
Pemilihan ini sekali gus menandakan pengiktirafan terhadap peranan pemimpin wanita Malaysia dalam membentuk masa depan demokrasi Asia — selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang berdaya tahan, progresif dan berpaksikan reformasi.





