top of page

Kapal MPMS 1 kukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia, siap Januari 2027

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
20 hours ago
2 min read
Kapal Multi Purpose Mission Ship 1 kukuh kesiapsiagaan APMM
Kapal Multi Purpose Mission Ship 1 kukuh kesiapsiagaan APMM

Kapal Multi Purpose Mission Ship 1 (MPMS 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijadualkan siap sepenuhnya dan memulakan pelayaran ke Malaysia pada akhir Januari 2027.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, majlis pelancaran kapal berkenaan berlangsung di Desan Shipyard, Istanbul, Türkiye, semalam dan disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Majlis itu turut disaksikan Menteri Dalam Negeri Türkiye, H.E. Mustafa Çiftçi; Menteri Industri dan Teknologi Türkiye, H.E. Mehmet Fatih Kacır; Panglima Tentera Laut Türkiye, Admiral Ercüment Tatlıoğlu serta wakil Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu.


Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis berkenaan, termasuk wakil kerajaan Türkiye serta pemain industri perkapalan dan maritim.


Menurut KDN, pembinaan MPMS 1 merupakan manifestasi hubungan erat Malaysia dan Türkiye, khususnya dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan maritim.


DS Saifuddin (kanan) menerima plague MPMS 1 dari rakan sejawatnya
DS Saifuddin (kanan) menerima plague MPMS 1 dari rakan sejawatnya

"Perolehan aset strategik ini akan memperkukuh keupayaan operasi APMM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara," kata kenyataan itu.


Majlis pelancaran berkenaan turut diserikan dengan acara simbolik pecahan botol yang mengandungi air laut dari Malaysia, melambangkan hubungan erat dan jalinan kerjasama antara kedua-dua negara.


Acara kemudiannya diteruskan dengan pelancaran MPMS 1 ke Laut Marmara.


Bersempena majlis itu, Saifuddin turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Türkiye bagi membincangkan perkara berkepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama dan perkongsian teknologi.


Perbincangan berkenaan memberi tumpuan khusus kepada bidang keselamatan dan industri maritim.


KDN berkata, pelaksanaan projek itu turut membuka ruang kepada pengukuhan kerjasama dalam pembinaan kapal, pembangunan industri maritim serta perkongsian kepakaran dan teknologi antara Malaysia dengan Türkiye.


"Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dan Republik Türkiye untuk terus memperluas hubungan strategik yang saling memberi manfaat," ujar kenyataan itu.


KDN turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada penerokaan bidang baharu pada masa hadapan, selain menyokong usaha kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan aset keselamatan negara secara berterusan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page