top of page

Kapal bantuan Flotila Madleen ditahan: Buka mata dunia kekejaman Israel

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Kapal layar flotila Madleen yang membawa sedikit bantuan kemanusiaan ke Gaza ditahan Israel
Kapal layar flotila Madleen yang membawa sedikit bantuan kemanusiaan ke Gaza ditahan Israel

Oleh: Helmi Mohd Foad


Penahanan kapal layar flotila Madleen oleh tentera Israel membuka mata masyarakat dunia terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, demikian kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan.


Sambil mengecam keras tindakan rejim tersebut, beliau berkata naratif tentang penindasan terhadap Palestin terutamanya di Gaza sudah berbeza di mana dunia mula sedar tentang pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik yang berlaku.


"Seperti dijangka, kapal layar bantuan Madleen dikepung dan aktivis ditangkap. Cuma kali ini, dunia dapat menyaksikan secara langsung dan semua mata tertumpu kepada Gaza. Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini.


"Naratif Gaza sudah berbeza, dunia sudah mula sedar genosid dan penghapusan etnik yang berlaku. Madleen mungkin hanya membawa bantuan kemanusiaan yang kecil, tetapi turut membawa suara kemanusiaan yang besar dan lantang," katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman webnya.

Sukarelawan malang yang ditahan tentera Israel dalam misi cuba menghulur bantuan ke Gaza
Sukarelawan malang yang ditahan tentera Israel dalam misi cuba menghulur bantuan ke Gaza

Zulkifli berkata dunia mesti sedar bahawa isu Gaza bukan hanya isu agama sebaliknya ia merupakan isu kemanusiaan yang sangat meruncing.


"Saya dan pasukan saya dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus menggerakkan usaha advokasi kesedaran berkenaan Gaza, selain bacaan Yaasin, Doa Qunut Nazilah serta #SolatHajatGaza di seluruh negara," katanya.


Sebelum ini Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap penahanan kru kapal flotila Madleen yang melaksanakan misi kemanusiaan secara aman menuju ke Gaza.


Tujuan utama misi ini adalah untuk membuka laluan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza yang terus dizalimi akibat sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel, sehingga menyebabkan kebuluran secara besar-besaran.


"Tindakan memintas dan mengganggu kru flotila tersebut jelas menunjukkan tindakan yang disengajakan dan kejam bagi menghalang bantuan kemanusiaan yang akan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang paling terjejas — termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga emas," kata Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar.


Malaysia sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera mendesak rejim Zionis Israel menghentikan sekatan kejam tersebut dan membenarkan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan kepada rakyat Gaza, katanya.


Media antarabangsa melaporkan kapal layar Madleen sepanjang 18 meter itu memulakan pelayaran ke Gaza pada 1 Jun dari Pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Catania, Sicily, Itali, sebagai sebahagian daripada misi terkini anjuran Freedom Flotilla Coalition bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah itu.


Bagaimanapun, Israel telah menahan 12 kru termasuk seorang aktivis Sweden Greta Tunberg dan wartawan Al-Jazeera Omar Fayyad selepas menunda kapal layar itu ke Pelabuhan Ashdod.


Laporan Al-Jazeera pada 10 Jun lalu menyebut aktivis dan wartawan tersebut telah dibawa ke Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv dan dihantar pulang.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page