top of page

Kandungan hina Agong: MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 days ago
  • 2 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan tuntutan statutori terhadap TikTok susulan kegagalannya mengambil tindakan segera terhadap kandungan menghina institusi diraja termasuk hantaran palsu dan berunsur ancaman yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


MCMC dalam kenyataan berkata, tindakan itu dibuat selepas TikTok didapati gagal menyekat serta menurunkan kandungan sensitif terbabit dalam tempoh sewajarnya walaupun beberapa sesi libat urus telah dijalankan sebelum ini.


"MCMC telah mengeluarkan tuntutan statutori terhadap TikTok susulan kegagalan platform tersebut mengambil tindakan yang sewajarnya dalam tempoh munasabah untuk menyekat dan menurunkan kandungan bersifat jelik melampau, palsu dan mengancam," kata kenyataan itu hari ini.


Menurut MCMC, kandungan terbabit dikaitkan dengan satu akaun yang kononnya mempunyai hubungan dengan Yang di-Pertuan Agong dan mengandungi unsur penghinaan serta manipulasi digital menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Suruhanjaya itu menegaskan penyebaran kandungan sedemikian bukan sahaja berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), malah boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian negara.


"MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," ujar kenyataan itu.


MCMC turut mengaitkan isu berkenaan dengan sensitiviti 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang disifatkan amat sensitif dalam konteks masyarakat majmuk negara ini.


"Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan," katanya.


Menurut MCMC, walaupun makluman dan libat urus telah dibuat lebih awal, respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut didapati “tidak memuaskan”, terutama dalam memastikan kandungan itu diturunkan dengan segera bagi menghalang penyebaran lanjut.


Susulan itu, TikTok kini dikehendaki mengambil langkah pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan selain meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang negara ini, gesa suruhanjaya itu.


"Tiktok juga dikehendaki memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut," kata kenyataan berkenaan.


Kes berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja di media sosial semakin mendapat perhatian pihak berkuasa sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


Sebelum ini, beberapa individu telah dipanggil memberi keterangan dan disiasat oleh MCMC serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana didakwa memuat naik kandungan menghina Raja-Raja Melayu dan institusi Yang di-Pertuan Agong.


Pada Februari lalu, MCMC membuka siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan menghina dan mengancam kerabat Diraja Terengganu menerusi platform X.


Pada April lalu, beberapa pemimpin kerajaan negeri Selangor menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu yang memuat naik hantaran menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai ancaman terhadap kestabilan institusi Raja Berperlembagaan.


"MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal yang perlu bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin," kata suruhanjaya itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page