Kanak-kanak ke warga emas ‘durian runtuh’ untuk rakyat Selangor
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 2 min read

Pelbagai inisiatif diumumkan Kerajaan Selangor sebagai tanda penghargaan kepada rakyat menerusi pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) memakluman, seramai 2,166 kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah bakal menerima RM100 sebulan selama setahun menerusi Inisiatif MamaKerja yang diperkenal Kerajaan Negeri sejak 2023.
"Setakat Ogos tahun lalu, seramai 4,417 ibu bekerja mempunyai tiga anak bawah 12 tahun dan berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 telah menerima manfaat program tersebut.
"Ia merupakan manifestasi penghargaan pentadbiran terhadap peranan wanita dalam pembangunan negeri serta usaha membantu golongan wanita bekerjaya di Selangor terus berbakti kepada keluarga dan negeri," katanya dipetik.
Pada pembentangan itu juga Amirudin turut mengumumkan 'durian runtuh' kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) anak Selangor selaras hasrat murni kerajaan negeri memberi galakan kepada mahasiswa untuk terus menuntut ilmu
Jelasnya, sebanyak RM17.378 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan dimana 50 peratus yuran pengajian bagi 400 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (Unisel) bagi sesi kemasukan September 2026 ditanggung kerajaan negeri.
"Selain itu, RM5 juta akan diperuntukkan menerusi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor pada tahun depan yang akan memanfaatkan seramai 5,000 mahasiswa berbanding RM3 juta bagi tahun sebelumnya.
"Kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan peruntukan kepada RM15 juta bagi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) untuk memanfaatkan lebih ramai pelajar," katanya.
Selain golongan kanak-kanak dan belia, Kerajaan Negeri turut tidak meminggirkan golongan veteran yang sudah banyak berjasa.
Justeru menurut Menteri Besar, seramai 8,317 veteran tidak berpencen di negeri itu akan mendapat Baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara sebanyak RM200 bagi Belanjawan Selangor 2026.
"Baucar pada Hari Pahlawan Negara pada 31 Julai tahun hadapan itu sebagai tanda penghargaan atas komitmen komuniti pesara polis dan tentera di negeri ini. Ini melibatkan peruntukkan sebanyak RM1.7 juta.
"Inisiatif ini melambangkan komitmen kerajaan negeri untuk terus menghargai jasa komuniti veteran selain membantu meringankan beban kos sara hidup mereka," jelasnya.
Sementara itu bagi menghargai golongan warga emas, Kerajaan Negeri menambah peruntukan program Jom Shopping yang dilaksanakan setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali menjadi RM18.48 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2 juta.









We senior citizen are we entitled to festival voucher if we collecting birthday vouchers.