Kampung Lee Kong Chian: Menjunjung Warisan Dalam Arus Pembangunan
- Suara Keadilan
- 24 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Perbahasan di Parlimen baru-baru ini mengenai isu Kampung Lee Kong Chian telah membuka ruang wacana yang sangat bermakna. Ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi pandangan yang pernah saya utarakan dalam kolum Suara KEADILAN sebelum ini. Susulan perhatian meluas masyarakat terhadap isu ini, saya terpanggil untuk tampil bagi memberikan gambaran yang tepat serta realiti sebenar situasi di lapangan.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, yang baru-baru ini telah lantang menyuarakan kebajikan penduduk walaupun beliau bukanlah wakil rakyat bagi kawasan Wangsa Maju. Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Lo Su Fui, atas keprihatinan serta sokongan moral yang diberikan kepada penduduk Kampung Lee Kong Chian.
Penempatan di Projek Perumahan Rakyat
Penglibatan saya secara langsung dalam perkhidmatan komuniti adalah untuk memastikan suara dan keluhan penduduk peringkat bawahan mendapat perhatian. Pada Februari lalu, dengan bantuan Pengarah Eksekutif Jabatan Perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tuan Ismadi Sakirin, serta usaha gigih Ketua Kampung, Encik Tan Lai Kee, sebahagian penduduk yang layak telah menerima surat tawaran penempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR). Manakala proses rayuan bagi kes-kes lain sedang giat diusahakan. Ini membuktikan bahawa DBKL kini mengamalkan pembaharuan pentadbiran yang lebih cekap, telus, dan berpaksikan kemanusiaan.

Menyingkap sejarah, Kampung Lee Kong Chian diasaskan pada tahun 1927 sebagai penempatan pekerja bagi kilang Lee Rubber. Sebelum merdeka, Lee Rubber telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi negara. Saya amat berharap agar jasa dan perjuangan tokoh dermawan, mendiang Tan Sri Lee Kong Chian, dapat dimasukkan ke dalam silibus sejarah sekolah agar generasi akan datang terus menghargai sumbangan besar tokoh-tokoh terdahulu dalam pembinaan negara.
Selain kampung ini, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lee Rubber yang terletak berhampiran adalah bukti nyata komitmen Lee Rubber terhadap pendidikan. Pada penghujung tahun 1980-an, walaupun kilang getah telah berpindah, ramai pekerja dan keturunan mereka memilih untuk terus menetap di sini.
Komuniti yang sarat dengan memori kolektif ini terus berkembang sehingga tahun 1990-an, apabila projek pelebaran Jalan Gombak menyebabkan pengurangan keluasan lot kedai, sekali gus mencetuskan polemik pampasan antara pemilik premis dengan pemilik tanah yang baharu pada hari ini.
Penduduk diberi penempatan semula
Kini, pihak pemaju melalui Persatuan Penduduk Kampung Lee Kong Chian yang telah diiktiraf, sedang dalam rundingan penempatan semula dengan tawaran pampasan sebanyak RM50,000 setiap isi rumah. Secara objektif, angka ini jauh lebih tinggi berbanding standard pampasan kawasan setinggan pada tahun 1980-an. Namun, majoriti penduduk masih menolak tawaran tersebut kerana Kampung Lee Kong Chian bukanlah setinggan haram, sebaliknya sebuah komuniti penempatan pekerja yang memiliki latar belakang sejarah dan kesahihan yang tersendiri.
Sebagai penasihat jawatankuasa kampung, saya tidak menetap di dalam kampung tersebut serta memilih untuk tidak campur tangan dalam rundingan pampasan bagi mengelakkan sebarang gangguan politik, dan membiarkan proses dialog berjalan secara rasional antara pemaju dan penduduk. Namun, kita perlu realistik dengan realiti perundangan. Berdasarkan rekod dan arkib, tanah tersebut adalah hak milik persendirian.
Ini bermakna penduduk bukanlah penceroboh haram, tetapi kerajaan juga mempunyai kekangan undang-undang dalam campur tangan urusan hak milik tanah persendirian. Memandangkan terdapat perbezaan tafsiran undang-undang mengenai hak kediaman antara kedua-dua pihak, penyelesaian akhirnya mungkin terletak pada keputusan mahkamah.
Pembangunan bandar raya lestari
Melihat ke hadapan, sebarang pelan pembangunan semula di kawasan ini mestilah mematuhi aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang menekankan aspek keterangkuman, kelestarian, dan mesra komuniti. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sering menegaskan komitmen bahawa Kuala Lumpur harus dibangunkan sebagai sebuah bandar raya lestari Malaysia MADANI yang inklusif.
Beliau menekankan bahawa pembangunan kota tidak harus hanya memihak kepada golongan kaya, sebaliknya mesti menjaga kebajikan golongan bawahan agar mereka tidak tersisih daripada arus pembangunan moden. Oleh itu, skim perumahan mampu milik seperti Rumah MADANI dan RumahWIP harus wujud seiring dengan projek kediaman mewah bagi mencapai keseimbangan sosial.
Dalam mencari keseimbangan ini, kita boleh mencontohi pengalaman Singapura. Pada tahun 1970-an, Singapura telah melaksanakan pembangunan semula kampung-kampung lama secara meluas bagi menyediakan perumahan awam moden.
Walaupun banyak kampung lama telah dibangunkan semula, masyarakat di sana masih berjaya mengekalkan tradisi budaya Cina yang unik. Ini membuktikan bahawa kehilangan ruang fizikal tidak bermakna kehilangan identiti budaya; kuncinya terletak pada jaminan hak penduduk dan kelangsungan warisan budaya.
Berpaksikan sifat kemanusiaan
Bagi saya, pampasan seberapa mana pun tidak mampu mengganti nilai emosi sejarah dan memori kolektif penduduk yang telah menetap di sini sejak 1927. Kampung Lee Kong Chian adalah sebuah buku sejarah hidup. Justeru, dalam video muzik Tahun Baru Cina tahun ini, saya memilih untuk merakamkan pemandangan di sini sebagai satu usaha mendokumentasikan keindahan dan sejarah tanah ini sebelum ia lenyap.
Pembangunan bandar haruslah berpaksikan sifat kemanusiaan. Dalam membina bangunan yang tinggi, kita tidak boleh memusnahkan nilai kemanusiaan, apatah lagi membiarkan sejarah lenyap di bawah jentolak pembangunan. Saya amat berharap agar pihak pemaju, pihak berkuasa, dan penduduk dapat mencapai penyelesaian yang adil, telus, dan bermaruah melalui dialog yang rasional.
Tidak lama lagi Kampung Lee Kong Chian akan hilang dari peta, namun Kampung Lee Kong Chian akan sentiasa dalam hati saya.
