Kalungan bunga di makam Mustafa Kamel Ataturk sebahagian rangka diplomasi
- Suara Keadilan
- 23 minutes ago
- 2 min read

Program Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi makam pengasas Turkiye moden, Mustafa Kemal Ataturk tidak sepatutnya menjadi modal politik kerana ia merupakan sebahagian daripada rangka diplomasi negara dan sensitiviti budaya.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Farhan Fauzi berkata, menghormati simbol negara sahabat bukan soal bersetuju dengan sejarahnya tetapi tanda kematangan sebagai sebuah negara berdaulat di pentas antarabangsa.
Beliau berkata bagi rakyat Turkiye, Mustafa Kemal merupakan tokoh pembinaan negara yang sumbangannya diberikan sanjungan.
"Justeru itu, menghormati beliau dalam lawatan rasmi negara bukan bermaksud mengangkat keseluruhan ideologi atau sejarah secara mutlak.
"Akan tetapi satu isyarat penghormatan terhadap identiti, sejarah dan simbol kenegaraan sahabat diplomatik kita," katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam Anwar diberi penghormatan untuk melaksanakan istiadat peletakan kalungan bunga di Anıtkabir yang menempatkan makam tokoh, Mustafa Kemal Atatürk.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye sejak Selasa.
Bagaimanapun, lawatan Perdana Menteri ke makam pemimpin Turkiye itu menjadi bahan kritikan dan sindiran pemimpin dan penyokong pembangkang.
Di Malaysia, Mustafa Kemal Ataturk dianggap sebagai tokoh sekular yang banyak menukar amalan Islam selepas kejatuhan Empayar Uthmaniah pada 1923.
Farhan yang turut menyertai delegasi Malaysia dalam lawatan itu menjelaskan berasaskan aspek hubungan antarabangsa, negara sahabat menghormati apa yang dimuliakan rakyat setempat.
"Sama seperti kita menghargai apabila pemimpin asing menghormati Yang di-Pertuan Agong, Tugu Negara, atau tokoh-tokoh penting sejarah Malaysia tanpa mencampuradukkan perbezaan latar budaya dan tafsiran sejarah mereka," ujarnya.
Lantaran itu, kata beliau diplomasi yang matang menuntut kebijaksanaan dengan berpegang teguh pada prinsip sendiri, sambil menghormati budaya dan sejarah pihak lain selagi tidak melanggar batas syarak dan akidah.
"Inilah pendekatan yang membuka ruang kerjasama, membina kepercayaan dan menjaga maruah negara di pentas dunia," katanya.





