Isu bukan Islam kononnya mahu dibenarkan menggunakan kalimah Allah susulan penarikan balik rayuan Kementerian Dalam Negeri ke atas keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland tidak sewajarnya dipesongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengelirukan minda rakyat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata kes berkenaan hanyalah isu pentadbiran dan pihak pembangkang sendiri mengakui sekiranya dirayu kes itu akan kalah di mahkamah. Namun katanya, amat dikesali para penyokong pembangkang terus memutar belitkan isu berkenaan.
"Beberapa hari yang lalu kita dimaklumkan ada satu rayuan di Mahkamah Rayuan tentang satu kes yang ditarik balik oleh Peguam Negara. Kes itu berhubung kait bukan kerana agama, bukan isu penggunaan kalimah Allah tetapi sebenarnya isu pentadbiran, isu kastam.
"Pihak kastam telah menyita sejumlah bahan yang menggunakan kalimah Allah. Tetapi asas arahan itu bercanggah dengan keputusan kerajaan, keputusan kabinet (pada 1986). Itu yang dipertikaikan.
"Tetapi apa yang PM telah nyatakan semalam, kita faham ada percanggahan ini dan kita nak baiki sekarang.
"Mantan PM, Muhyiddin Yasin juga dalam teks beliau ada menyatakan, beliau mengaku kalau dibawa ke mahkamah sukar untuk menang. Itu diakui oleh mantan PM," kata Fahmi dalam program Jom Baca Bersama 10 Minit 2023 peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital bertemakan ‘BACA BINA INSAN’, pagi tadi.
Oleh itu, menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu lagi, rakyat seharusnya tidak termakan sebarang propaganda daripada mana mana pihak yang cuba mengeruhkan keadaan kerana kerajaan tidak pernah mengubah undang undang berkaitan penggunaan kalimah Allah sejak 1986.
Sebaliknya, rakyat perlu memberi masa untuk kerajaan dan Majlis Raja Raja menyelesaikan persoalan tersebut.
"Jadi kabinet telah membuat keputusan, kita persembahkan cadangan menyeluruh bersepadu untuk menyelesaikan masalah ini once and for all kepada Majlis Raja Raja
"Pada masa sama, dasar kerajaan tentang kalimah Allah sejak 1986 sampai ke hari ini tidak ada perubahan dasar," katanya lagi.
댓글