"Kalih Bagi Sama" agar selari Persekutuan, mudah bangun negeri
- Redzuan Shamsudin
- Aug 12, 2023
- 3 min read
Updated: Aug 12, 2023

Slogan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah "Kalih Bagi Sama" mengandungi makna yang tepat kepada realiti hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sikap beliau tidak boleh menghormati keputusan rakyat sekiranya mahu parti berlainan memerintah, namun dasar negeri dan pusat tidak akan selari, apatah lagi dengan sikap Menteri Besar (MB) Datuk Seri Sanusi Md Nor yang suka menghina pemimpin pusat.
"Sebab itu keperluan kita untuk bersama. Pasal apa senang dengan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang? Kerana satu dasar, satu haluan. Dengan Perlis gagah juga, dengan Kedah susah. Salah saya? Hang (MB Kedah) maki aku hari hari, kemudian tulis surat boleh tak jumpa nak bincang," katanya dalam ceramah grand finale Jelajah Perpaduan Madani di Sungai Petani, malam tadi.
Dalam pada itu, PM berkata sejak 8 bulan lalu imej Malaysia telah pulih di peringkat antarabangsa secara beransur ansur.
Terbaharu, katanya kuasa ekonomi nombor satu dunia, China mahu menjalankan hubungan yang lebih erat dengan Malaysia.
Anwar mengakui baharu sahaja dikunjungi oleh Menteri Luar China, Wang Yi yang dalam rangka lawatan ke negara ini.
Ironinya, kata beliau, Wang Yi terbang ke Pulau Pinang untuk bertemu kerana kesibukan berkempen pilihanraya dan tidak boleh bertemu di Putrajaya.
"Bayangkan Menteri Luar China. Negara penduduk 1.4 bilion. Ekonomi antara terkuat di dunia. Pelaburan dia trilion ringgit di luar negara.
"Dia datang dengan maksud meningkatkan kerjasama pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia.
"Mula saya jumpa dia sorang. Saya cerita pasal Sarawak, green hydrogen dan Electric Vehicle yang maju ke depan. Saya bercakap pasal Selangor, Negeri Sembilan, Kedah saya cakap juga.
"Kulim Hi Tech tu projek Kerajaan Persekutuan, kemudahan Kerajaan Persekutuan. Tapi saya nak beritahu, imej kita macam itu sekarang (diyakini antarabangsa)," katanya.
Selain itu, Pengerusi Pakatan Harapan itu juga membawakan kronologi pemimpin perusahaan Infineon dari Jerman yang datang bertemu beliau hampir dua bulan lalu untuk mengembangkan pelaburan di Kulim Hi Tech Park.

Katanya, wakil perusahaan Jerman itu bertanya beberapa soalan dan dijawabnya sehingga para perwakilan yang hadir berpuas hati.
"Orang nak labur RM25 bilion, ingat senang terima.
"Dia tanya soalan. Apakah negara ini stabil dan boleh bertahan 5 tahun? Saya bagi kenyataan Premier Abang Johari, Ketua Menteri Sabah Hajiji, Presiden Umno Zahid dan PH (saling bersatu padu).
"Dia tengok gambar saya, Abang Jo, Hajiji dan Umno sewaktu berarak penamaan calon. Kita hantar gambar ke Jerman untuk buktikan PRN satu hal tetapi Kerajaan Persekutuan akan kekal untuk 5 tahun. Dia puas hati.
"Soalan kedua, ekonomi Madani. Dia tanya tanya apakah jelas Malaysia akan menjadi negara gergasi ekonomi di rantau ini? (Saya jawab) itu cita cita kita. Beliau puas hati
"Soalan ketiga rumit sikit. Dia tanya saya perkembangan perkauman dan fanatik agama yang sempit. Apakah akan menjejaskan keselamatan negara?
"Saya kata ada, tapi kita mampu kawal dan kalau mereka melanggar had, melakukan kekacauan, saya akan menggunakan seluruh kekuatan negara ini agar negara kekal aman. Saya jawab orang cuba keruhkan keadaan, Cina ambil alih, Kristian ambil alih Pulau Pinang, saya kata tunggu lepas pilihanraya
"Kalau hal ini berterusan langgar undang undang saya dan Jemaah Menteri akan bertindak tegas menyelamatkan negara," katanya.
Selepas itu, tambah Presiden KEADILAN, baharulah Infineon buat keputusan dalam 10 hari lalu untuk menambah pelaburan.
Justeru, beliau tidak pasti bagaimana Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor berkata syarikat berkenaan telah menandatangani persetujuan tersebut 2 tahun lalu.
"Selepas itu dia buat keputusan 10 hari lalu (tambah pelaburan) tetapi MB Kedah kata dia dah sain 2 tahun sudah.
"Dia sain apa saya tak tahu. Mungkin dia sain Kulim Hi Tech nak buat pagar baru ke, saya tak tahu.
"Kamu boleh google Infineon dan tengok keputusan Lembaga Pengarah Infineon di Jerman," katanya lagi.
Sehubungan itu, Anwar menasihati rakyat Kedah untuk melakukan perubahan pada esok hari dan mengundi Kerajaan Perpaduan bagi selari pentadbiran di antara Kedah dan Persekutuan.
Comments