Perdebatan mengenai calon Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini tidak seharusnya dipersoalkan lagi kerana jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling layak menerajui negara dan bukannya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Faizah Ariffin berkata Mahathir sudah banyak berbakti kepada negara namun kegagalannya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar serta tindakannya yang meletakkan jawatan Perdana Menteri tanpa berbincang dengan rakan PH terlebih dahulu mengubah situasi politik negara ketika ini.
"Pakatan Harapan ketika itu terkapai-kapai mencari solusi menyelamatkan mandat rakyat. Lebih membingungkan, dia kembali menawarkan diri sebagai calon PM apabila PH sebulat suara menamakan Anwar Ibrahim sebagai PM untuk dipersembah kepada Yang Di-Pertuan Agong.
"Jika benar beliau mempunyai niat menyelamatkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, beliau tidak perlu meletakkan jawatan.
"Jelas beliau juga turut menyumbang kepada salah satu faktor runtuhnya kerajaan PH dan mahu memimpin kerajaan PH sekali lagi? Tidak!" katanya dalam kenyataan.
Faizah menganggap PH terus mendapat sokongan rakyat kerana gabungan itu sentiasa bangkit untuk rakyat dan berjuang menuntut hak-hak rakyat serta menentang sebarang penindasan terhadap rakyat.
"Harus diingat PH lahir dari semangat perjuangan reformasi yang menentang kezaliman dan kebobrokan pemerintah selari dengan tuntutan Deklarasi Permatang Pauh.
"Jika diberi ruang untuk menjadi kerajaan semula, biarlah bahtera ini diterajui oleh orang yang benar-benar mempunyai roh dan jiwa reformasi itu sendiri tidak lain dan tidak bukan sudah tentunya Anwar Ibrahim," katanya.
Adalah suatu yg tidak masuk akal sekiranya PH kembali menamakan Tun Mahathir untuk menjadi calun PM lagi, sebab apa yg dilakukan ketika kejatuhan kerajaan PH sudahpun menunjukkan sifat yg sebenar Tun, yg sering membelakangi prinsip permuafakatan...