“Kalau TMJ terima saya sebagai sahabat, saya terima 10 kali sebagai sahabat” - Anwar
- Hasbul Ahmad

- Jun 23
- 2 min read

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan institusi diraja sentiasa dipelihara, malah menyifatkan dirinya amat menghargai persahabatan yang ditunjukkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurut beliau, hubungan yang terjalin atas dasar saling menghormati itu sekali gus menepis pelbagai spekulasi serta kempen politik yang cuba mengaitkan institusi diraja dengan persaingan politik kepartian.
"Saya terima baik kerana Pemangku Sultan Johor sebut Anwar Ibrahim ini sahabat saya. Apalah saya ini, anak kampung di Cerok Tok Kun.
"Tapi seorang Pemangku Raja anggap saya sebagai sahabat. Sebab itu bila Pemangku berangkat ke Kuala Lumpur dan mahu menghadap, saya terima dengan baik.
"Kalau dia terima saya sebagai sahabat, saya terima dia 10 kali lagi sebagai sahabat baik," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor Ke-16 di Bukit Gambir, Muar malam tadi.
Anwar berkata, hubungan erat antara kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu penting bagi memastikan urusan pentadbiran negara berjalan dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
Beliau menegaskan Pakatan Harapan sentiasa menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan menghargai setiap pandangan serta nasihat yang diberikan demi kepentingan rakyat dan negara.
"Kita harus ingat, yang bertanding dalam pilihanraya ini ialah parti-parti politik. Jangan kaitkan Raja-Raja Melayu.
"Kalau mereka tegur, kita terima baik. Kalau perlu runding, kita runding dengan baik. Kalau mereka beri nasihat, saya terima baik.
"Saya bagi pandangan, mereka bagi pandangan balas. Itu perkara biasa dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
"Ini penting. Sebab itu saya sangat-sangat menjunjung kasih Pemangku Sultan Johor tadi kerana susah payah baginda datang dan menjelaskan perkara ini, sebagai seorang sahabat.
"Ada orang yang mahu menyalahgunakan keadaan dan mahu melaga-lagakan," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak menggunakan institusi diraja sebagai bahan kempen politik kerana tindakan sedemikian tidak wajar dalam sistem kenegaraan Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan komited menyelesaikan pelbagai projek pembangunan yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu, termasuk projek-projek strategik yang memberi manfaat besar kepada rakyat Johor.
Menurutnya, terdapat projek yang berdepan kelewatan selepas tahun 2018 dan kerajaan hari ini sedang berusaha memastikan segala halangan dapat diselesaikan.
"Terutama sejak 2018, ada projek-projek yang tersangkut. Tetapi sekarang kita berusaha menyelesaikannya satu demi satu.
"Kalau ada projek yang tergendala sebelum ini, jangan tanya Pakatan Harapan sahaja. Tanyalah juga kerajaan-kerajaan yang memerintah selepas itu kerana banyak perkara berlaku dalam tempoh tersebut," katanya.
Beliau memberi contoh projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang diumumkan sejak pentadbiran terdahulu tetapi hanya menunjukkan kemajuan ketara selepas kerajaan pimpinannya mengambil langkah menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pelaksanaan projek itu.
Anwar berkata pendekatan Kerajaan MADANI adalah memastikan setiap projek yang memberi manfaat kepada rakyat dapat diteruskan dan disiapkan tanpa mengira siapa yang memulakannya, demi kemajuan Johor dan kesejahteraan rakyat negeri itu.




Comments