top of page

"Kalau mahu berunding kita runding, kalau mahu tempur kita bertempur"

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar bersama barisan pimpinan Pakatan Harapan dalam Konvensyen PH 2026, semalam
DS Anwar bersama barisan pimpinan Pakatan Harapan dalam Konvensyen PH 2026, semalam

Pakatan Harapan (PH) memilih pendekatan untuk berunding dengan parti-parti sekutu secara baik bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan, namun itu tidak bermakna kaedah tersebut menjadi simbol ,kelemahan.


Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk “bertempur”, maka pihaknya juga bersedia mengambil pendekatan sama dengan penuh keyakinan dan kekuatan.


"Kalau mereka mahu berunding dengan baik, kita berunding dengan baik. Tetapi kalau mereka memilih untuk bertempur, kita akan bertempur dengan penuh keyakinan dan kekuatan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapannya pada Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru semalam yang menghimpunkan pimpinan serta penyokong gabungan itu bagi memperkukuh semangat perjuangan dan mempertahankan mandat rakyat.


Menurut Perdana Menteri, pendekatan rundingan yang diambil selama ini dibuat atas dasar menjaga kestabilan negara serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.


Katanya, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak serta kestabilan ekonomi negara.


"Kekuatan perjuangan ini bukan lahir daripada amarah atau kebencian, tetapi keyakinan bahawa rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang bekerja, mendengar denyut nadi rakyat dan menyelesaikan masalah sebenar di lapangan," katanya.


Anwar berkata PH dibina atas semangat saling percaya serta iltizam mempertahankan tatakelola yang bersih dan dasar yang benar-benar membela rakyat terbanyak.


Menurut beliau, pendekatan bil hikmah yang diamalkan tidak seharusnya ditafsir sebagai kelemahan politik.


"Kita tidak makan ugutan. Soal mandat biarlah dikembalikan kepada rakyat untuk menentukannya, bukan sekadar di negeri-negeri tertentu tetapi jika perlu di seluruh negara," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan politik gabungan itu didewasakan dengan pelbagai pengalaman termasuk pengkhianatan dan tekanan politik.


"Kita didewasakan luka dan pengalaman. Tidak tunduk kepada ugutan, pengkhianatan mahupun percaturan sempit politik," katanya.


Anwar turut menyampaikan rangkap puisi yang menggambarkan semangat perjuangan dan keteguhan saf HARAPAN.


“Meja rundingan, pentas perdebatan,

Setiap ruang jadi medan ikatan.

Tiada gentar, tiada kebimbangan,

Selagi perjuangan memahat wawasan.”


Beliau berkata PH kan terus memperkukuh saf perjuangan dengan semangat kebersamaan dan rasa tawaduk demi mempertahankan kestabilan negara serta masa depan rakyat.


"InsyaAllah, HARAPAN akan terus bersedia, memperkukuh saf perjuangan dan mempertahankan kestabilan negara dengan penuh keyakinan, semangat kebersamaan dan rasa tawaduk demi rakyat serta tanah air tercinta," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page