Hishamuddin didenda RM250 sahaja, kenapa rakyat kena denda RM1,000?


Denda RM1,000 yang dikenakan terhadap mana-mana individu yang gagal memakai pelitup muka di tempat-tempat awam dilihat sebagai satu hukuman yang tidak adil dan berat sebelah.


Dalam kenyataan bersama, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berpendapat bahawa denda yang dikenakan mempunyai kesan yang besar kepada orang awam, berbanding denda yang dikenakan terhadap golongan elit.


"Seorang budak lelaki menangis selepas polis mengenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul amat menyentuh hati rakyat. Pada masa sama, golongan elit boleh terlepas dengan membayar denda ataupun langsung tidak dikenakan tindakan.


"Sebagai contoh, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sudah dilantik sebagai ahli parlimen sejak 1995 dan kini menjadi menteri kanan hanya didenda RM250 kerana menghisap vape secara terbuka di Dewan Rakyat.


"Rakyat pastinya kecewa dengan sikap 'double standard' yang dipraktikkan oleh kerajaan," menurut kenyataan itu.


Justeru, Kelvin dan Shu Qi menggesa kerajaan supaya mengurangkan denda RM1000 kepada RM250 dan mendesak semua ahli parlimen menyokong petisyen tersebut.


"Kami berpendapat denda RM1,000 terlalu melampau untuk rakyat biasa dalam keadaan ekonomi ketika ini. Oleh itu, kami mencadangkan denda RM1,000 dikurangkan kepada RM250. Denda ini sepatutnya untuk mendidik, bukan menghukum.


"Tambahan pula, RM250 sangat bermakna bagi kebanyakan keluarga B40 pada masa sukar ini ketika mereka berusaha mendapatkan bekalan pelitup muka yang mencukupi.


"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengurangkan denda secepat mungkin. Rakyat mahukan pendekatan yang adil dari kerajaan," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio