Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada semua kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah yang akan disalurkan mulai 5 April ini.
Perdana Menteri (PM) berkata bayaran tersebut turut diberikan kepada semua kakitangan awam lantikan kontrak.
Beliau berkata, bayaran sebanyak RM250 pula akan diberikan kepada semua pesara kakitangan awam, veteran angkatan tentera sama ada yang berpencen atau tidak berpencen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pembayaran bantuan itu pada majlis perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.
"Insya-Allah saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April," katanya.
Anwar berkata bantuan khas itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan walaupun bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 telah diberikan pada 23 Februari lalu.
"Ada kakitangan awam yang saya temui, mereka kata sudah habis belanja (bayaran insentif)," katanya.
Beliau berkata BKK itu juga mengambil kira keluhan penjawat awam yang ditemui di Bazar Ramadan ketika lawatan kerja beliau ke Pahang dan Sarawak baru-baru ini.
Anwar berkata sekiranya politik stabil, dasar ekonomi jelas dan pelaburan domestik dan asing bertambah, kerajaan boleh mempertimbangkan penyaluran bantuan lain kepada rakyat.
Turut hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Bantuan RM500 ini merupakan sumbangan kali kedua kepada penjawat awam dalam tempoh dua bulan selepas RM2,000 dibayar kepada kakitangan awam pada Mac lalu.
Comments