top of page

Kak Wan Ibu Reformasi: Keikhlasan, Kegigihan Membuahkan Kegemilangan



Oleh: Ahmad Nizam Hamid


Products are made in the factory but brands are created in the mind.


Saya lupa siapa yang punya quote di atas. Pun begitu setelah suku abad kita harus berbangga mengakui bahawa KEADILAN sudah menjadi tanda nama yang diingati dan embedded di dalam minda pengundi di Malaysia. Kita sudah menjadi bersama dengan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) - a force to be reckoned with - suatu kekuatan politik yang jitu dan ampuh.


Tentunya KEADILAN dan PH hari ini tidak begitu-begitu sahaja muncul, tidak lahir dari lampu ajaib Aladdin tetapi melalui pancaroba dan 1001 hambatan yang bukan kepalang sengit, dahsyat dan seru; sekiranya kita jujur menoleh ke belakang nescaya kita melihat perjalanan suku abad ini bukan jalan lurus ditaburi bebunga mawar.


Sejarah guru terbaik


Sejarah adalah guru yang terbaik. Kita belajar dari sejarah, mengambil segala teladan dan sempadan supaya bukan sahaja tidak mengulanginya bahkan mengambil pelajaran dan tentunya bagi merangka blueprint ke hadapan.


Tentunya tatkala kita menoleh ke belakang, segala penghargaan sebesarnya sangat wajar diberikan kepada Ibu Reformasi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail - Kak Wan - yang teguh memimpin memegang kemudi parti dari hari pertama KEADILAN dilahirkan. Bukan alang kepalang hambatan dan cabaran yang beliau hadapi.

Ahmad Nizam Hamid

Memimpin sebuah parti yang masih terlalu muda, bocah kecil menghadapi parpol yang bukan sahaja susah established malah, UMNO di bawah Dr Mahathir waktu itu, yang tanpa silu mempergunakan seluruh aparat negara menindas dan menekan parti lawan bukanlah suatu hal yang mudah.


Ditambah pula dengan 1001 ragam dari pimpinan sehingga anggota parti yang pelbagai latar belakang idealogi serta uslub; ditambah dengan pengkhianatan demi pengkhianatan dan tentunya ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mendekam di balik jeriji besi, Kak Wan juga bertanggungjawab memimpin keluarga.


Seingat saya, belum pernah selama suku abad ini waima ketika Kak Wan memimpin parti, melihat wajahnya letih atau kecewa atau zahirkan kekecewaan. Tetapi beliau menguntum senyum, menyeru supaya anggota parti tetap kukuh semangat, istiqomah dan berpegang kepada panji dan janji perjuangan. Luar biasa Ibu Reformasi ini.


Wakil rakyat tunggal 2004


Ada kalangan yang meramalkan parti ini tidak lama, seperti Semangat 46. Ramal mereka, akan berkubur tanpa nisan dan berbondong ‘kembali’ kepada UMNO.


Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, Kak Wan menjadi wakil tunggal KeADILan di Parlimen. Ramai yang meramalkan keputusan ‘upset’ itu (setelah menang gemilang di PRU 1999) menjadi permulaan kepada pengakhiran riwayat KEADILAN. Malah ada suara sindiran ‘Parti Anwar Ibrahim lagi cepat mati dari Semangat 46’. Namun kita telah membuktikan sebaliknya. Kak Wan ‘prove her mettle’ terus teguh memimpin, resilient dan mempertahankan parti (serta Anwar).


Saya fikir waktu itu menjadi titik terendah parti. Juga menjadi titik pemisah kepada mereka yang setia kepada perjuangan dan terus bersama, dengan mereka yang hilang keyakinan dan memilih keluar parti.


Dengan slogan Lawan Tetap Lawan di bawah pimpinan Kak Wan, parti terus melangkah walau diawalnya tampak sedikit tempang dek semangat sebahagian yang luntur dan demoralised, namun masih ramai yang kekal teguh dan bersemangat bersama Kak Wan dan parti.


Siapakah yang boleh menafikan semangat dan sumbangan gigih Kak Wan? Dan tentunya seluruh pimpinan lain di semua peringkat serta anggota-anggota parti yang tetap setia mengobarkan panji dan semangat perjuangan?


Mempertahankan ikrar dari roh Deklarasi Permatang Pauh, bersama sederap kaki, berganding tangan - kerja! kerja! kerja! Berjuang! berjuang! - tanpa jemu, tanpa pamrih, tanpa lelah dengan segala kekuatan dan pengorbanan.


Kejujuran, keikhlasan membuahkan kegemilangan


Menoleh kebelakang, bagai rel filem berlari laju, semuanya memberikan kemanisan tersendiri di dalam berjuang walaupun kita jujur mengakui penuh intriks dan jalan berliku penuh duri.


Di mana kita hari ini, dek kerana kekuatan dan keuletan seorang pemimpin, seorang wanita kental, seorang Kak Wan yang tetap teguh memegang kemudi bahtera bernama KEADILAN dan bermula dari Barisan Alternatif ke Pakatan Rakyat ke Pakatan Harapan hari ini.


Kak Wan dan semua dari kita yang masih teguh berada di sini serta tentunya jutaan rakyat Malaysia yang lain membuktikan bahawa dengan semangat, dengan kekitaan, dengan kebersamaan dan tentunya kejujuran, keikhlasan, memegang amanah dan janji serta disiplin yang tinggi memungkinkan dengan izin Allah SWT menobatkan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri serta di mana kedudukan kita hari ini.


*Tulisan ini sebagai penghargaan peribadi saya dan teman-teman KEADILAN Temerloh khususnya buat Kak Wan bersempena Sambutan 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat.

________________________________________________________________________________

Penulis merupakan aktivis awal Reformasi dan penggiat awal KEADILAN Pahang. Beliau kini merupakan peguam senior.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page