Kajian Merdeka Centre buktikan MADANI benar-benar memimpin - Farahida
- Suara Keadilan
- Jun 26
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Dapatan terbaharu Merdeka Centre yang mendapati sokongan pengundi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 55 peratus merupakan bukti jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Exco Wanita KEADILAN Pusat, Farahida Fauzi berkata peningkatan sokongan itu hasil usaha gigih, dasar yang inklusif dan keberanian moral seorang pemimpin yang tidak tunduk kepada politik populis.
"Ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, kestabilan politik di bawah kepimpinan Anwar menjadi antara faktor utama rakyat terus meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.
"Usaha memperkukuh ekonomi rakyat, melaksanakan reformasi institusi, memperbaiki sistem pendidikan dan membela golongan rentan – termasuk wanita dan kanak-kanak – membuktikan kerajaan hari ini bukan sekadar memerintah, tetapi benar-benar memimpin," katanya dalam kenyataan.
Merdeka Center menerusi satu kajian yang dikeluarkan untuk menandakan pertengahan penggal lima tahun pentadbiran MADANI menyatakan bahawa rakyat mula merasakan negara berada pada landasan yang lebih kukuh.
Selain peningkatan sokongan terhadap perdana menteri meningkat kepada 55% berbanding 43% pada Jun lalu, penarafan kelulusan bagi kerajaan turut meningkat dari 40% kepada 50% dalam tempoh sama.
Pusat kajian bebas itu menyatakan, antara faktor yang mendorong peningkatan sokongan itu ialah kejayaan Kerajaan MADANI menurunkan kadar inflasi, meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga 4.4 peratus pada suku pertama, dasar berkaitan kadar gaji minimum dan insiatif bantuan tunai disalurkan kepada rakyat.
Selain itu, rakyat turut berpuas hati terhadap peningkatan ketara imej negara di peringkat global, yang digerakkan melalui lawatan pemimpin antarabangsa, perjanjian pelaburan baharu dan peranan aktif perdana menteri dalam inisiatif serantau dan Selatan Global.
Sementara itu, Farahida yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Indera Mahkota menyeru seluruh rakyat khususnya golongan wanita untuk terus menyokong usaha-usaha yang sedang dilaksana kerajaan.
Di bawah pentadbiran Anwar, katanya suara golongan wanita jelasnya bukan sahaja didengari malah turut diberi tempat yang sewajarnya dalam pentadbiran negara.
"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha reformasi dan memperkukuh perpaduan nasional. Pemimpin yang baik diuji bukan pada kata-katanya, tetapi pada amal dan istiqamahnya," katanya lagi.
Comments