Kajian kembalikan UPSR, PT3 dijangka selesai tahun ini – Fadhlina
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kajian mengenai keperluan untuk memperkenalkan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka diselesaikan tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kajian akan dimulakan sebaik proses pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) selesai dan kementerian sudah bersedia melaksanakannya segera.
"MPPK kini dalam proses pelantikan. Dari segi persiapan, kita sudah bersedia dan akan selesaikan kajian ini dalam tahun ini juga, secepat mungkin," katanya dipetik.
Fadhlina berkata begitu selepas Program PAKAT Prasekolah dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1) di Putrajaya pada Khamis.
UPSR dimansuhkan pada 2021 manakala PT3 pada 2022, sebelum digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Minggu lalu, Fadhlina berkata, kajian itu dilaksanakan susulan maklum balas dan permintaan ibu bapa serta warga pendidik yang mahu kerajaan menilai semula keperluan mengembalikan kedua-dua peperiksaan awam tersebut.
"Kerajaan mendengar pandangan rakyat. Apabila ada permintaan, kita ambil pendekatan untuk meneliti dan mengkaji bersama sebelum membuat keputusan penting berkaitan dasar pendidikan negara," tegas beliau.









Comments