
Kerajaan Selangor sudah melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan projek Jajaran Rel Selangor yang mengubungkan kawasan utara negeri itu hingga ke Negeri Sembilan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata pembinaan projek tersebut bakal dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil masa selama 10 tahun.
"Fasa berperingkat yang dicadangkan adalah reka bentuk awal dan paparan awam, permohonan skim kereta api bersyarat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan badan berkaitan; pemeriksaan awam dan pengenalpastian maklumbalas; penyediaan reka bentuk terperinci; persediaan bagi pelaksanaan tender, pengambilan tanah dan proses perbicaraan tanah; fasa pembinaan dan pengintegrasian sistem; serta sesi pengujian dan pentauliahan.
"Cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor dijangka dapat memberi kesan positif kepada Selangor, termasuk menerusi aspek limpahan ekonomi kepada negeri," katanya ketika menjawab soalan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan projek Jajaran Rel Selangor yang akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM3 juta.
Jajaran Rel Selangor melibatkan laluan kereta api menghubungkan Sabak Bernam, Shah Alam/Klang dan Sepang sehingga ke Labu, Negeri Sembilan.
Sze Han berkata Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor dalam fasa akhir pelaksanaan dan dapatannya akan diserah kepada Kementerian Pengangkutan.
Jelas beliau kajian tersebut mengenal pasti laluan sepanjang 200 kilometer dengan empat cadangan jajaran sokongan iaitu Pelabuhan Barat (Westport), Klang, Putra Heights dan Universiti Selangor di Bestari Jaya.
Tambahnya kajian itu melibatkan perkhidmatan penumpang dan kargo yang akan memendekkan perjalanan dari utara ke selatan Selangor dengan kelajuan 160 kilometer sejam.
"Pengguna dianggarkan mengambil masa 1 jam 42 minit dari Sabak Bernam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan Rel Selangor berbanding 2 jam 41 minit jika memandu," katanya.
Comentários