Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta mengkaji semula keputusan menaikkan denda melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid 19 daripada RM1,000 sebelumnya kepada RM10,000.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biasanya denda lebih memangsai rakyat marhaen tetapi kepada golongan elit keadaan tidak sedemikian.
Beliau menyarankan agar kerajaan PN mendengar rintihan rakyat dalam suasana yang mencabar ini, bukannya menunjukkan kuasa menaikkan denda.
"Kita kesal kerana yang akan menjadi mangsa selalunya keluarga miskin. Dan apa keutamaannya? Kalau kita nak tegas kawal, pertahan Perintah Kawalan Pergerakan saya setuju tetapi denda begini hanya membebankan rakyat. Banyak kes yang kita tahu melibatkan orang besar, atasan, darjat tinggi tidak dikenakan (denda). Kalau dikenakan ada runding, kalau orang bawah maksimum hukumannya.
"Saya tidak mengerti mengapa kerajaan ini angkuh serta tidak mempedulikan langsung sentimen rakyat. Saya tidak pandang ringan keselamatan dan kesihatan rakyat diutamakan.
"Oleh itu saya menutut kerajaan mengkaji semula dan meringankan hukuman ini kerana RM10,000 satu jumlah tinggi dan penderaan kepada rakyat akan berterusan.
"Kita tak nampak usaha menangani kemiskinan, pengangguran sehebat mereka meluluskan kontrak baru, sehebat mereka mengenakan hukuman baru," katanya dalam siaran media, malam tadi.
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu, tidak adil menaikkan denda ketika kerajaan PN sendiri gagal menetapkan SOP yang mantap menghadapi pandemik.
"Peraturan bertukar ikut selera. Semalam tidak boleh mesyuarat, hari ini boleh. Semalam 50 orang, hari ini 200 orang. Jumlah yang positif bertambah ketimbang jumlah dulu tetapi peraturan jauh lebih longgar.
"Hanya buat ikut kepentingan politik. Mahu tunjuk keadaan gawat isytihar darurat. Sekarang sudah darurat sekolah boleh buka, hanya Parlimen tidak boleh bersidang.
"Saya nasihatkan PM agar ambil iktibar dari Agong yang berikan tafsiran yang betul tetang darurat dan tidak menghalang Parlimen. Ini satu tamparan kepada PN yang memberikan nasihat darurat bermakna penggantungan Parlimen," katanya.
Sehubungan itu, kata Anwar, Parlimen perlu segera bersidang untuk membincangkan perkara-perkara penting agar peraturan tidak hanya dibuat oleh segelintir manusia yang memiliki kuasa sahaja.
Comments