top of page

KAHB umpama 'lintah': AMK Kedah kecam Sanusi abai pekerja GLC



Oleh: Abdullah Zaid


Dakwaan Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengumpamakan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) sebagai 'lintah penghisap darah' kerana tidak mampu menjana pendapatan sendiri dibidas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah.


Pengarah Komunikasi AMK Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, Sanusi sepatutnya bersifat lebih berperikemanusiaan memandangkan isu pembayaran gaji kakitangan milik Kerajaan Negeri itu adalah tanggungjawab beliau yang mengetuai pentadbiran Kedah.


"Kenyataan MB Kedah menyebut KAHB umpama lintah itu tidak adil buat anak syarikat milik negeri itu.


"Isu ini berlaku setelah masuk penggal kedua beliau menjadi Menteri Besar Kedah. Kenapa tak ada intervensi (sebelum ini) sedangkan isu ini telah berlaku sejak dari September.


"Jadi daripada hendak menuding jari kepada orang lain, sepatutnya beliau perlu mengambil tanggungjawab dan bukan sebaliknya," kata Fitri kepada Suara Keadilan.


Baru baru ini Sanusi memilih untuk menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu kerana membenarkan perbelanjaan gaji kakitangan milik Perbadanan Menteri Besar Kedah ditampung Kerajaan Negeri.


Bagaimanapun Sanusi tidak pula melakukan sebarang perubahan atau penstrukturan semula KAHB selepas mengambil alih teraju negeri untuk memperbaiki keadaan kewangan syarikat berkenaan.


Namun bagi Fitri, isu membabitkan tunggakan gaji itu tidak sepatutnya menjadi masalah besar memandangkan ADUN Jeneri itu sering mendakwa Kedah menerima pelaburan ketiga terbesar selepas Kuala Lumpur dan Selangor.


"Sepatutnya isu tunggakan gaji ini tidak menjadi masalah besar buat Kerajaan Negeri sebab Sanusi sering mendakwa Kedah menerima pelaburan kukuh (banyak hasil cukai), jadi saya kira isu ini tidak perlu menjadi (bukan) masalah buat mereka," ujarnya.


Selain itu, Fitri juga mempersoalkan kewajaran pembelian kereta utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai Palisade oleh Kerajaan Negeri kerana isu kewangan GLC negeri sepatutnya menjadi keutamaan pada ketika ini.


Jelasnya, pembelian kenderaan mewah tersebut tidak sewajarnya berlaku tatkala pentadbiran negeri Kedah turut berdepan isu tunggakan pembayaran gaji kakitangannya.


"Kita maklum kenyataan MB bahawa kenderaan sebelum ini ada kerosakan tetapi isu-isu kebajikan perlu diberi keutamaan berbanding kereta.


"Sikap empati ini penting memandangkan tunggakan gaji pekerja sudah lama berlaku dan ia sudah pasti akan menjejaskan kehidupan mereka khususnya dalam menjalani Ramadan dan bakal menyambut Raya Aidilfitri," ujarnya lagi.


Pada 24 Mac lalu, MB Sanusi dalam kenyataan kepada media berkata tujuan menubuhkan GLC adalah untuk berniaga, dapat projek kerajaan dan keuntungan pulang balik kepada kerajaan.


Namun katanya KAHB yang mempunyai 30 orang pekerja tidak menyumbang hasil kepada kerajaan.


"Sumbang tak pernah, tapi kikis lagi itu bukan GLC. Itu lintah, saya tak mahu bela lintah," katanya dipetik BH.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page