Kadar sewa RM1, 9 tahun bagi sekolah, rumah ibadat tanah rizab KTMB


Kadar sewaan bagi rumah ibadat dan sekolah bantuan modal di sepanjang jajaran landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diselaraskan kepada hanya RM1 sebulan mulai 1 Oktober ini bagi tempoh sembilan tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penyelarasan kadar sewaan itu merupakan usaha Kerajaan MADANI mencapai keseimbangan antara menjaga kepentingan aset kerajaan dan memastikan aset berkenaan terus memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, langkah itu selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan rakyat, selain mencerminkan tatakelola yang baik serta bertanggungjawab.
"Banyak struktur ini melibatkan rumah ibadat yang sekiranya berlaku pembangunan dan kita perlu mengalih atau memindahkannya akan berlaku sedikit masalah.
"Selagi mana tanah rizab itu tidak digunakan, maksudnya tidak digunakan ialah kalau tidak ada pembinaan landasan baharu dan tidak diperlukan tanah-tanah tersebut, maka struktur-struktur sedia ada terutama rumah ibadat dan sekolah sudah tentu tidak akan kita ambil semula kerana ada perjanjian sewa untuk kegunaan rumah ibadat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Penyerahan Surat Makluman Kadar Sewaan Khas Bagi Tujuan Rumah Ibadat dan Sekolah Bantuan Modal yang diadakan di ibu pejabat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di ibu negara hari ini.
Loke berkata, sebelum ini kadar sewaan nominal bagi rumah ibadat dan sekolah berkenaan tidak diseragamkan, dengan sesetengah pihak membayar antara RM50 hingga RM500 sebulan, justeru kerajaan mengambil keputusan menetapkan satu kadar yang jelas dan seragam.
Oleh itu katanya kerajaan membuat keputusan untuk menyelaraskan kadar harga itu selepas mendapat kelulusan pihak Lembaga Pengarah RAC.
"Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa kita telah membuat satu keputusan untuk menyelaraskan kadar sewa kepada semua rumah ibadat dan sekolah yang berada di sepanjang jajaran landasan keretapi KTMB di bawah satu usaha CSR.
"Saya umumkan kadar sewaan khas ini ditetapkan pada kadar RM1 sebulan bermula 1 Oktober. RM1 ini adalah untuk memberi jaminan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua.
"Ini kerana apabila ada bayaran nominal RM1, anda adalah penyewa yang sah daripada segi undang-undang, pada masa sama memberikan satu perlindungan jaminan kepada rumah-rumah ibadat tersebut sebagai penyewa yang sah dari segi undang-undang," ujarnya lagi.




Comments