top of page

Kadar penggunaan 5G meningkat 36 peratus - Fahmi



Kadar penggunaan rangkaian 5G di negara ini telah mencecah hampir 36 peratus sehingga pertengahan April manakala kadar liputan perkhidmatan itu telah mencapai 80.3 peratus pada Februari lepas.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu dianggap baik memandangkan penerimagunaan 5G sebelum ini agak rendah iaitu sekitar 12 hingga 15 peratus pada November tahun lalu.


"Jadi dalam tempoh cuma lima, enam bulan kita telah berjaya meningkatkan daripada 15 peratus lebih kurang ke lebih 35 peratus...hampir 36 peratus sekarang. Jadi saya lihat ramai yang memanfaatkan (rangkaian 5G) terutama pakej-pakej 5G yang disediakan.


"Saya juga baru-baru ini telah meminta supaya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti supaya kita boleh mempertimbang adakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan rangkaian 5G untuk menyediakan pakej 5G bagi mahasiswa," katanya kepada pemberita selepas melawat Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar Utara, Perlis hari ini.


Fahmi berkata kerajaan dijangka mengumumkan rangkaian kedua 5G pada minggu hadapan yang dilihat akan membawa implikasi positif dan besar dari segi liputan serta penerimagunaan perkhidmatan tersebut.


Sementara itu, beliau berkata kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk melihat beberapa perkara bagi membantu menyediakan perkhidmatan Internet lebih murah dan pantas di sekolah seluruh negara.


"Terdapat lebih 4,000 sekolah yang menjadi lokasi untuk projek PoP dan sejumlah sekolah-sekolah ini kita harap sekolah-sekolah di luar bandar khususnya, akan dapat manfaat dengan penyediaan Internet yang lebih laju dan lebih murah melalui projek Titik Kehadiran (PoP).


"Jadi saya telah minta ketua setiausaha kementerian untuk berbincang dengan pasukan Kementerian Pendidikan, juga melalui MCMC untuk memaklumkan semua penyedia perkhidmatan Internet yang terlibat dalam program PoP supaya bersedia untuk menyediakan Internet lebih murah dan lebih laju kepada sekolah terlibat," katanya dipetik Bernama.


Sebanyak 437,000 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi menjelang akhir 2025 menerusi pembinaan rangkaian Hab Gentian Optik PoP bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


Pembinaan 4,323 PoP di kawasan berhampiran sekolah luar bandar dan 47 PoP di kawasan perindustrian, yang melibatkan peruntukan RM4.6 bilion, dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan 677 PoP bermula 2021 hingga kini manakala fasa kedua dilaksanakan dari 2022 hingga 2025 meliputi 3,693 PoP.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page