Kadar pengangguran di Selangor turun sekitar 2.0 peratus
- Suara Keadilan

- Aug 4
- 1 min read

Kadar penyertaan tenaga buruh di Selangor kekal tinggi sekitar 78.5 peratus, sekali gus mencerminkan pasaran pekerjaan yang aktif dan stabil di negeri itu.
Exco Sumber Manusia V Papparaidu (gambar) berkata, pencapaian tersebut didorong prestasi ekonomi negeri yang berkembang hasil kejayaan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Selangor.
"Selangor mencatat pelaburan diluluskan RM33.5 bilion pada suku pertama tahun ini, sekali lagi menjadi negeri penerima pelaburan tertinggi. Ini merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan ekonomi digital termasuk pusat data, teknologi tinggi dan perkhidmatan global.
"Fokus terhadap sektor teknologi tinggi, ekonomi digital, latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dan pembangunan bakat tempatan dijangka terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan peluang pekerjaan pada tahun akan datang," katanya dipetik di Dewan Negeri Selangor pada Isnin.
Menurut Papparaidu, kadar pengangguran di Selangor juga menunjukkan penurunan kepada sekitar 2.0 peratus manakala 50,226 peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan setakat Julai lalu.
Komitmen dan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperkasa pembangunan bakat tempatan membolehkan negeri itu kekal sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
"Kejayaan ini merupakan hasil daripada kepimpinan yang berwawasan serta dasar negeri selain usaha memperkukuh ekosistem pelaburan, perdagangan dan perindustrian negeri," katanya.




Comments