Kadar OPR turun bantu rakyat, bukan beban - Mahfuz
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kenyataan pemimpin Pas yang mengkritik penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai tidak berasas dan menunjukkan kekeliruan antara “ubat dan penyakit”, demikian menurut Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Tegas beliau langkah Bank Negara Malaysia menurunkan OPR adalah sebahagian daripada pendekatan dasar monetari yang lazim untuk merangsang ekonomi yang perlahan serta membantu rakyat mengurangkan beban pinjaman.
"Apabila OPR diturunkan, kadar faedah bagi pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan turut menurun. Ini secara langsung meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz langkah tersebut juga bertujuan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan pelaburan dan perbelanjaan domestik.
"Bila pinjaman lebih murah, perniagaan kecil dan sederhana dapat berkembang, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ini dasar membantu rakyat, bukan membebankan," kata beliau.
Mengulas kritikan Pas terhadap komitmen pelaburan asing ke Malaysia, Mahfuz menegaskan proses pelaburan memerlukan masa dan bukan sekadar angka segera.
"Sebahagian pelaburan mungkin masih dalam bentuk komitmen, tapi itu proses biasa dalam dunia ekonomi. Adakah Pas mahu kerajaan berpeluk tubuh dan tidak berusaha langsung menarik pelaburan asing?" soalnya.
Beliau turut menyelar pendekatan politik pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak konsisten dan hanya menangguk di air keruh.
"OPR turun, mereka bising. OPR naik, mereka bising. Subsidi disasar, mereka bantah. Subsidi pukal, mereka kata tak cukup. Naik salah, turun pun salah. Pas ini nampaknya serba salah," sindir Mahfuz.
Mahfuz berkata kerajaan sentiasa menasihatkan rakyat supaya berbelanja secara berhemah walaupun memiliki lebihan kewangan akibat kadar faedah yang lebih rendah.
Perkara ini katanya selaras dengan seruan kerajaan sejak sekian lama agar rakyat mengurus hutang dan perbelanjaan secara bertanggungjawab.
Dalam masa sama, beliau turut mencabar Pas agar mengemukakan dasar ekonomi alternatif sekiranya benar-benar mempunyai tawaran yang lebih baik.
"Pas hanya ulang retorik ‘harga barang naik’ setiap kali berpeluang, tetapi tiada pelan tindakan konkrit pun yang mereka kemukakan. Zaman mereka dalam kerajaan, inflasi tetap berlaku. Mereka pun gagal kawal harga ayam dan minyak ketika itu," katanya lagi.
Mahfuz menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha mencari keseimbangan antara dasar fiskal yang bertanggungjawab dan keperluan rakyat dan bukannya mengambil pendekatan populis semata-mata.
Comments