Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuat semakan semula kepada kadar gaji dan faedah kakitangan syarikat itu bagi memastikan mereka memperoleh bayaran yang setanding dengan negara luar.
Berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di Subang Jaya pada Rabu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata usaha ini penting bagi memastikan persediaan pekerja mahir dan mewujudkan daya saing dalam syarikat berkenaan.
Kajian dilakukan jelasnya mendapati ramai pekerja mahir syarikat itu lebih tertarik dengan tawaran yang diberikan daripada negara luar termasuk di Singapura.
"Pada tahun 2022, 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu 'turnover rate' yang agak tinggi.
"Turnover rate untuk Rapid Rail adalah 6%, manakala turnover rate Rapid Bus mencecah 11%. Ini adalah situasi yang membimbangkan," katanya dalam ucapan itu.
Mengulas lanjut, Anthony menjelaskan sebilangan besar yang meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran yang lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Timur Tengah.
Berikutan situasi dan cabaran itulah tegasnya Prasarana dan kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan pekerja pekerja yang berkemahiran tinggi sentiasa dijaga termasuk dalam memastikan gaji dan faedah diterima mereka setanding pasaran.
コメント