Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil memaklumkan media rasmi Pas, Harakah, boleh membuat rayuan untuk mendapatkan kembali kad perakuan media yang ditarik Jabatan Penerangan, baru-baru ini.
Fahmi berkata, pihaknya difahamkan media Pas itu akan menghantar rayuan dan ia dialu-alukan oleh KKD.
"Ingin saya tegaskan di sini ialah etika kewartawanan dan seperti yang disebut Perdana Menteri bahawa beliau sedia untuk memaafkan dan ia tidak menjadi satu masalah.
"Perkara ini tidak terpakai hanya kepada Harakah tetapi kepada semua (mengenai) etika kewartawanan, kerjasama dengan semua rakan-rakan media," katanya menerusi Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status rayuan yang dikatakan sudah dihantar Harakah berhubung penarikan semula Kad Perakuan Media wartawan HarakahDaily.
Pada 7 November lalu, Ahmad Fadhli mendakwa Jabatan Penerangan mengambil kad perakuan media milik lidah rasmi Pas itu semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Parlimen.
Ahmad Fadhli tidak menjelaskan secara terperinci sebab Harakah dikenakan tindakan tersebut.
Bagaimanapun, tindakan itu difahamkan ada kaitan dengan artikel yang diterbit portal tersebut memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel di belakangnya dan foto Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahaya di sisinya bendera Palestin sebagai latar belakang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menzahirkan kekecewaan susulan tindakan Harakah sebagai ‘biadap’ dan ‘kurang sopan’.
Comments