Pelaksanaan menu RAHMAH yang bermula pada Januari lalu telah berjaya mengurangkan perbelanjaan bagi rakyat yang membeli makanan siap di restoran dan sebagainya.
Namun pembangkang PN mengkritik kerajaan kerana pengenalan Menu RAHMAH berharga RM5 sepinggan itu menyebabkan peniaga makanan menghadapi masalah kerugian kerana tidak mendapat diskaun ketika memberi bahan mentah.
Menanggapi masalah itu pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali hari ini memperkenalkan Kad Diskaun Khas bagi peniaga makanan membeli bahan mentah di gudang pemborong atau pasar raya terpilih.
"Penawaran Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini merupakan program rintis bersama di antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran.
"KPDN menghargai komitmen enam buah pasaraya yang telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini iaitu pasar raya AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin serta NSK.
"Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu RAHMAH yang telah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu RAHMAH.
"Pasar raya-pasar raya ini akan menawarkan kadar diskaun sehingga 40 peratus terhadap 5,000 stock keeping unit (SKU); tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pasar raya," katanya dalam sidang media pagi tadi.
Permohonan kad diskaun itu, kata Armizan, perlulah memenuhi beberapa syarat seperti warganegara Malaysia; telah berdaftar sebagai pengusaha Menu RAHMAH di bawah KPDN dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.
Menurut Armizan, sehingga kini terdapat 2,849 premis berdaftar yang menawarkan Menu RAHMAH kepada di seluruh negara.
"Inisiatif ini (kad diskaun) merupakan salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan program Menu RAHMAH sebagai galakan untuk meningkatkan lagi bilangan pengusaha restoran menyertai program Menu RAHMAH.
"Kementerian komited dalam memperluaskan dan menjayakan program Menu RAHMAH bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pilihan makanan di luar dengan harga yang berpatutan," katanya lagi.
Permohonan bagi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.
Sebarang pertanyaan lanjut, para pengusaha Menu RAHMAH boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.
Comments