Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.
"Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Sukan Komanwel atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
"Namun ketika ini kerajaan mahu memberikan fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Kenyataan KBS berkata delegasi CGF telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan bersama Menteri Kewangan Kedua dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran tersebut pada 5 Februari lalu.
"Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) yang dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.
"Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini,” katanya.
Laporan media tempatan pada 11 Mac lalu menyebut Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan CGF menawarkan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwell pada 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur ekoran masalah kewangan.
Kali terakhir Malaysia menjadi hos Sukan Komanwel ke-16 adalah pada 1998 dengan menduduki tangga keempat apabila berjaya menyapu 36 pingat termasuk 10 emas.
Comments