top of page

Kabinet setuju pindaan kuasa perundangan alam sekitar Sarawak, perkukuh MA63

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
8 hours ago
1 min read
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil

Jemaah Menteri bersetuju menerima memorandum berhubung Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2026 bagi Sarawak, sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perintah berkenaan yang dikemukakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara sebelum diangkat untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Menurutnya, keputusan itu mencerminkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk memastikan pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dilaksanakan secara teratur dan berkesan, selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.


"Keputusan ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam memastikan pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Beliau berkata, penyempurnaan pindaan itu merupakan langkah penting sebelum penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) digantung di Sarawak.


Langkah berkenaan bertujuan membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak secara teratur, selain mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.


Fahmi berkata, inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI merealisasikan komitmen MA63, khususnya berkaitan pemberian kuasa perundangan Persekutuan dalam bidang alam sekitar kepada Sabah dan Sarawak.


Katanya, pelaksanaan penyerahan kuasa berkenaan akan dilakukan secara berfasa dengan pengurusan buangan terjadual menjadi fasa permulaan.


"Kerajaan MADANI terus komited memastikan agenda pelaksanaan MA63 diterjemah melalui tindakan dan keputusan konkrit demi memperkukuh hubungan Persekutuan dengan Negeri serta menjamin kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page