Kabinet atau Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti meletak jawatan kerana melakukan kesalahan serius memansuhkan Ordinan Darurat dan mengumumkannya tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Kelantan, Roslan Ismail, pelanggaran serius prinsip Raja Berperlembagaan itu tidak boleh diambil mudah oleh kerajaan PN sebagainya yang terjadi di sidang Dewan Rakyat semalam, semua menteri meninggalkan dewan secara senyap-senyap dan meninggalkan Ahli Parlimen pembangkang tertanya-tanya mengenai isu Ordinan Darurat.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita di atas kenyataan mengelirukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai 2021 berkenaan pembatalan semua Ordinan-Ordinan Darurat oleh kerajaan walaupun belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
"Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda dan bukannya pihak Eksekutif.
"Lebih mendukacitakan apabila Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun gagal mengenalpasti pencabulan Perlembagaan ketika kenyataan ini dikeluarkan. Ahli Parlimen lain dinafikan hak untuk mendapatkan penjelasan secepat mungkin," kata Roslan dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, berdasarkan Perlembagaan, Perkara 43, maka seluruh Jemaah Menteri yang mendahului Agong dalam isu pemansuhan Ordinan Darurat seharusnya segera meletakkan jawatan bagi memudahkan Seri Paduka Baginda melantik kerajaan baharu mentadbir negara.
"Kerajaan telah mencemarkan prinsip Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen. Penderhakaan ini harus dihentikan segera agar demokrasi negara dapat diselamatkan.
"Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen".
"Oleh yang demikian, kesemua ahli Jemaah Menteri perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan pada kadar segera," katanya lagi.
Comments