top of page

Kabinet baharu tumpu pertumbuhan ekonomi, selesai masalah rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar bersama senarai barisan kabinet yang dirombak dalam sidang media khas
DS Anwar bersama senarai barisan kabinet yang dirombak dalam sidang media khas

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu sebagai memperkukuhkan pentadbiran kerajaan perpaduan dengan pertukaran melibatkan beberapa potfolio dan seorang muka baharu sebagai anggota Jemaah Menteri.


Perdana Menteri berkata rombakan tersebut dilakukan berikutan kekosongan dalam Kabinet dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.


"Ini supaya Kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.


"Saya hanya umumkan menteri-menteri yang ditukarkan portfolio dan pelantikan baharu sahaja. Yang kekal atau lama tidak akan saya umumkan," katanya.


Dalam pengumuman di Putrajaya, Perdana Menteri kekal memegang potfolio Menteri Kewangan manakala Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Rubiah Wang sebagai timbalan.


Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof pula kekal sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air manakala timbalannya Abdul Rahman Mohamad.


Sementara itu ketua ketua parti komponen Pakatan Harapan juga kekal sebagai Menteri, begitu juga pemimpin kanan UMNO.


Manakala sebanyak enam timbalan menteri "dinaikkan pangkat" iaitu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi manakala Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.


Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang tamat tempoh Senator awal bulan ini.


Menteri Perladangan dan Komoditi diganti dengan Datuk Noraini Ahmad yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat manakala timbalannya Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Lew Chin Tong yang sebelum ini Timbalan Menteri MITI kini menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Kewangan.


Senator Dr Zulkifli Hasan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Dr Na'im Mokhtar yang digugurkan manakala pendakwah wanita dari Sabah, Marhamah Rosli dilantik sebagai timbalannya.


Datuk Seri R Ramanan yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, menggantikan Steven Sim yang bertukar potfolio sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi


Muka baharu yang dilantik turut melibatkan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Ekonomi).


Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.


"Upacara angkat sumpah yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berlangsung pukul 10 pagi esok di Istana Negara.


"Mesyuarat Jemaah Menteri akan diteruskan pada pukul 2.30 petang esok," kata Perdana Menteri.


Mengikut pecahan komponen Kerajaan Perpaduan pula, keseluruhan 62 ahli Kabinet terdiri daripada PH (31 ahli), BN (13); GPS (11); GRS (3); Bebas/Senator (4).


Manakala pecahan terperinci KEADILAN (15), UMNO (12), DAP (12), PBB (7), AMANAH (4), PRS (2) , PDP (1), SUPP (1), PBRS (1), WARISAN (1), Bebas/Senator (3).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page