K'jaan sedia dana RM13 juta sokong penggiat industri seni tempatan
- Suara Keadilan
- May 1
- 1 min read

Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM13 juta sebagai dana sokongan kepada penggiat industri seni tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peruntukan bagi program Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik dan Skim Dana Padanan (SDP) itu disalurkan melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) dan kini terbuka untuk permohonan.
"Ia menawarkan tiga kategori pembiayaan iaitu Dana Persembahan Muzik, Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik.
"Sehingga kini, RM23 juta daripada Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik telah diagihkan kepada 223 penerima, menyokong mereka berdasarkan merit, kebolehlaksanaan, dan potensi pasaran setiap projek, dengan tujuan mengukuhkan ekosistem muzik negara," katanya dipetik dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi memaklumkan, permohonan bagi Dana Persembahan Muzik bakal ditutup pada 11 Jun ini manakala permohonan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik adalah dibuka sepanjang tahun.
"Manakala bagi SDP, MyCreative menawarkan geran padanan satu dengan satu (1-to-1 matching grants) hingga RM250,000 bagi setiap permohonan yang berjaya.
"Antara syarat utama bagi SDP adalah projek kreatif yang dikemukakan mesti dimiliki oleh entiti berdaftar dalam industri kreatif Malaysia dan meliputi bidang seni persembahan, seni visual, kraf, muzik, kandungan kreatif digital serta seni merentas disiplin.
"Permohonan daripada sektor kreatif selain yang disokong MyCreative akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi kriteria dan objektif program," katanya.
Maklumat lanjut dan permohonan pendaftaran bagi DKK Industri Muzik dan SDP 2025 boleh diakses melalui pautan www.mycreative.com.my/fundings.
MyCreative ialah cabang pelaburan kerajaan untuk memacu industri kreatif Malaysia melalui pembiayaan strategik dan inovatif dalam bentuk pelaburan ekuiti atau hutang.
Comments