
Jurucakap Parlimen KEADILAN akan memberikan fokus kepada lima aspek utama sepanjang berlangsungnya sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Lima aspek tersebut ialah kesihatan, ekonomi dan kerja, perlindungan sosial, pendidikan dan alam sekitar.
Perkara itu akan disokong oleh beberapa matlamat dasar iaitu memastikan amalan tadbir urus baik dan institusi, Malaysia yang Digital (DNA23) dan masyarakat yang inklusif dan penyayang.
Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tugas Jurucakap-jurucakap Parlimen akan berteraskan dan difokuskan terhadap mencapai tonggak dan matlamat agenda tersebut.
"Jurucakap Parlimen KEADILAN juga akan ditugaskan untuk menyemak imbang tindakan-tindakan kerajaan semasa dalam portfolio masing-masing.
"Parti bekerja rapat bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) dan berusaha untuk mencapai matlamat fokus tersebut.
"Masih terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi KEADILAN dan Jurucakap Parlimennya tekad untuk meneruskan perjuangannya dalam memastikan Malaysia yang lebih adil untuk semua rakyatnya," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Nik Nazmi menganggap dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat dan menangani masalah rakyat, pihak pembangkang perlu memainkan peranan dalam Parlimen.
"Peristiwa baru-baru ini telah membuktikan bahawa negara ini memerlukan pembangkang yang kuat dan aktif yang akan mengembalikan semula mandat rakyat, memberi pengawasan yang teliti terhadap eksekutif dan merangka dasar-dasar alternatif bagi memastikan Malaysia keluar daripada pandemik COVID-19 dengan ekonominya dipulih semula.
"Kami berharap rakyat Malaysia bukan hanya terus memberikan sokongan terhadap usaha kami, tetapi turut juga membantu kami dalam mengenalpasti isu-isu dan masalah-masalah yang mungkin dilepas pandang oleh pihak rasmi atau pihak media," katanya.
Nik Nazmi turut memberi pandangan mengenai tiga aspek iaitu kesihatan, ekonomi dan kerja, dan perlindungan sosial.
KESIHATAN
Dalam isu kesihatan misalnya, walaupun kerja-kerja petugas di barisan hadapan kita yang bertungkus-lumus harus dipuji, pandemik ini telah menunjukkan bahawa adanya masalah dalam infrastruktur kesihatan awam kita, terutamanya dalam isu penjagaan kepada kumpulan-kumpulan yang terpinggir.
Laporan yang menunjukkan kenaikan kes-kes positif boleh dihujahkan yang Malaysia mempunyai kekurangan dalam aspek “exit strategy” daripada PKP dan juga adanya kelemahan dalam koordinasi antara keutamaan kesihatan awam dan keboleh upayaan ekonomi.
EKONOMI DAN KERJA
Dalam aspek jangka masa pendek dan sederhana, Malaysia, seperti negara-negara yang lain, perlu menghadapi cabaran-cabaran ekonomi pandemik, termasuklah pengurangan penggunaan dan gangguan terhadap bekalan akibat daripada kemelesetan.
Ekonomi berbentuk “V” nampaknya semakin tidak mungkin terjadi dan sememangnya, trajektori ekonomi kita pada masa hadapan adalah tidak menentu. Pengangguran juga telah menjadi salah satu masalah, dengan kebimbangan yang ia akan mencapai sebanyak 5.5% bagi 2020 sebagaimana diramalkan DOSM.
Data-data rasmi tidak menunjukkan pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji atau yang telah dikurangkan gajinya. Di samping itu, generasi muda Malaysia adalah golongan yang paling terdedah terhadap pemberhentian kerja dan pekerja yang berpengalaman terdedah kepada pemotongan gaji. Rangsangan fiskal Malaysia sebenarnya adalah keterbelakang jika dibandingkan dengan Singapura, Thailand, Filipina, dan Indonesia.
PERLINDUNGAN SOSIAL
Program pemindahan wang tunai dan bantuan kebajikan di Malaysia kebanyakannya adalah secara ad-hoc, namun pendaftaran berlebihan dalam Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) sebenarnya menunjukkan bahawa bantuan amatlah diperlukan ketika ini.
Program subsidi gaji PRIHATIN adalah tidak mencukupi kerana ia dilaporkan bahawa ianya membantu 2.5 juta pekerja berbanding dengan 3 juta pekerja PKS yang ada di Malaysia. Selain itu, ianya hanya menggunakan 5% daripada KDNK berbanding dengan 20% Singapura.
Dalam sesi parlimen, kami merancang untuk menekankan untuk mengembangkan ruang fiskal untuk menghadapi cabaran ekonomi yang berpunca daripada COVID-19, memberi perlindungan yang wajar dalam aspek liabiliti undang-undang terhadap perniagaan yang terkesan daripada pandemik, penyambungan moratorium terhadap pinjaman bank dan pembayaran sewa, merangka langkah-langkah bagi memastikan kelangsungan firma dan pemulihan berkaitan pengekalan pekerjaan dan perkembangan jaringan keselamatan sosial.
Comments