top of page

Jurang 13,395 doktor pakar: Zaliha minta KKM kemuka pelan tindakan tangani kekurangan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
18 hours ago
1 min read
Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyediakan pelan tindakan yang jelas dan tersusun bagi menangani kekurangan doktor pakar negara yang diunjurkan mencecah 13,395 orang menjelang 2030.


Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kekurangan tenaga pakar, keupayaan hospital serta akses rawatan di kawasan luar bandar perlu diberikan perhatian serius dalam perancangan kesihatan negara.


Beliau membangkitkan perkara itu ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan, sambil menegaskan peruntukan RM47.7 bilion kepada KKM perlu diterjemahkan kepada peningkatan sebenar mutu perkhidmatan kesihatan.


Menurutnya, antara isu paling membimbangkan ialah jurang antara keperluan doktor pakar dengan jumlah tenaga pakar yang sedang berkhidmat.


KKM mengunjurkan keperluan seramai 22,435 doktor pakar menjelang 2030, sedangkan hanya 9,040 pakar berkhidmat setakat Disember 2025.


Keadaan itu mewujudkan kekurangan sebanyak 13,395 doktor pakar yang memerlukan strategi latihan dan penempatan lebih tersusun bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan dapat dipenuhi.


Zaliha turut membangkitkan penurunan kira-kira 39 peratus peruntukan pembangunan Kesihatan Luar Bandar, daripada RM647.29 juta kepada RM394.24 juta.


Katanya, perkara itu perlu diberikan perhatian memandangkan akses kepada kemudahan dan rawatan kesihatan di kawasan luar bandar masih menjadi keutamaan rakyat.


Selain itu, beliau turut membangkitkan isu kesiapsiagaan ambulans, kesihatan mental murid serta keperluan menaik taraf Hospital Segamat dan klinik kesihatan sekitar Sekijang.


Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan bukan sekadar menyediakan peruntukan besar kepada sektor kesihatan, tetapi memastikan setiap perbelanjaan menghasilkan peningkatan perkhidmatan yang dapat dirasai rakyat.


Justeru, KKM perlu mengemukakan sasaran serta garis masa pelaksanaan yang jelas bagi memastikan isu kekurangan tenaga pakar, kemudahan hospital dan akses rawatan dapat ditangani secara berkesan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page