top of page

Junjung titah Agong: Kerajaan komited tangani penyebaran berita palsu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 1 min read

Kementerian Komunikasi akan terus komited dalam membenteras penyebaran berita palsu dan kandungan fitnah di media sosial.


Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata begitu sebagai menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menyeru agar pemantauan terhadap isu yang mengancam perpaduan itu terus diperkasakan.


Ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin, beliau berkata proses pengesahan umur bagi semua platform media sosial sudah dikuatkuasakan sebagai langkah penting ke arah usaha kawalan yang lebih menyeluruh.


"Ini merupakan langkah penting untuk kita pertama pastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak menjadi mangsa kepada kemudaratan dalam talian yang hari ini terlalu banyak tersebar dengan terlalu mudah.


"Dan saya percaya ini langkah pertama dan ada langkah-langkah susulan yang perlu kita ambil termasuk terhadap platform-platform yang ingkar," katanya dipetik.


Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat dan kandungan palsu yang semakin berleluasa, khususnya apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan berita palsu menerusi video ‘deepfake’ di media sosial.


Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menegaskan, platform digital yang menjalankan perniagaan serta meraih keuntungan di Malaysia perlu menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.


Beliau berharap syarikat-syarikat pengendali platform media sosial turut memberi perhatian serius kepada titah Yang di-Pertuan Agong tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page