Jumlah pendaftaran MyDigital ID meningat 2.8 juta orang - Dr Zaliha
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jumlah pendaftaran MyDigital ID dalam kalangan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan ketara apabila mencecah kira-kira 2.8 juta orang setakat suku kedua tahun 2025, berbanding 1.8 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun yang sama.
Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (gambar) ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat selari dengan perkembangan kes pengguna dalam konteks MyDigital ID.
''Kes penggunaan bermaksud aplikasi atau perkhidmatan tertentu di mana MyDigitlal ID digunakan sebagai kaedah pengesahan identiti.
''Contohnya, MyDigital ID digunakan untuk log masuk ke portal MyGOV, mengakses aplikasi MyJPJ dengan pengesahan identiti, dan melakukan verifikasi pemilik kad SIM prabayar.
''Semakin banyak kes penggunaan MyDigital ID diperkenalkan dalam sistem dan perkhidmatan kerajan dan swasta, semakin tinggi keperluan pengguna untuk mendaftarkannya,'' katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu perkembangan perlaksanaan inisiatif MYDigital setakat ini khususnya berkaitan pendaftaran MyDigital ID, integrasi sistem Kerajaan dengan platform digital dan impaknya kepada penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Mengulas lanjut isu integrasi sistem, Dr Zaliha berkata, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Pertama Tahun 2024 pada 2 Mac lalu, beliau telah memaklumkan bahawa sebanyak 10 sistem aplikasi kerajaan telah diintegrasikan dengan MyDigital ID.
''(Ketika itu) 12 sistem aplikasi masih dalam proses, 15 dalam perancangan dan 8 pula dalam penilaiain.. ia melibatkan 42 sistem secara keseluruhan.
''Terkini jumlah integrasi telah meningkat secara signifikan kepada 35 sistem aplikasi kerajaan, 17 sedang dalam pelaksanaan manakala 21 lagi dalam perbincangan awal.
''Di samping itu, tujuh sistem aplikasi bukan kerajaan telah berjaya diintegrasikan dan dua lagi sedang dilaksanakan menjadikan jumlah keseluruhan integrasi adalah sebanyak 82 sistem, menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding Mac lalu,'' jelas beliau lagi.
Comments