Jumlah hutang baharu turun, pembangkang jangan pesongkan fakta
- Suara Keadilan

- Jul 10
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar) tampil menepis persepsi negatif yang dimainkan sesetengah pihak khususnya pembangkang, berhubung isu hutang negara yang telah dipesongkan daripada fakta sebenar.
Beliau berkata, kebanyakannya naratif yang disebarkan hanya bersifat hasutan semata-mata tanpa ada nilai-nilai kebertanggungjawapan terhadap kemakmuran negara.
Katanya, isu berkenaan sering disebarkan dengan cara yang mengelirukan atau penyebarnya sendiri tidak memahami perkara yang disebarkan.
''Serangan negatif ini berkisarkan graf kadar hutang negara terkini yang menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
''Penurunan jumlah hutang baru mampu dicapai hanya dengan cara langkah-langkah fiskal kerajaan dilaksanakan dengan amat tersusun dan menghasilkan impak yang baik. Ini jelas sedang berlaku.
''Kerajaan MADANI mengurus hutang negara melalui gabungan reformasi fiskal, kawalan perbelanjaan, dan penambahbaikan dalam kutipan hasil,'' jelas beliau dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau turut memperincikan pendekatan yang telah diambil oleh Kerajaan MADANI dalam menguruskan hutang negara.
Katanya, kerajaan telah menguatkuasakan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, menetapkan had defisit di bawah 3% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hutang negara di bawah 60% KDNK.
''Kerajaan wajib sediakan laporan kewangan berkala dan pelan kontingensi jika berlaku gangguan fiskal.
''Kedua adalah tentang pengurangan defisit secara berperingkat yang menyaksikan defisit menurun sebanyak 5.5% (2022), 5.0% (2023), 4.1% (2024) dan sasaran 3.8% pada tahun ini.
''Hutang baru pula dikurangkan daripada RM100 bilion kepada RM93 bilion pada 2023, RM85 sehingga 86 bilion (2024) dan RM80 bilion pada tahun ini,'' katanya.
Dalam kenyataan sama, antara langkah lain untuk mengurangkan hutang adalah berkaitan penstrukturan subsidi dan perbelanjaan bijak yang menyaksikan subsidi seperti diesel, elektrik, RON95, dan air disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Selain itu ujarnya, projek kerajaan melalui tender terbuka juga dilakukan bagi mengurangkan kos pembaziran dan birokrasi.
Katanya, kerajaan juga telah melakukan semakan semula perbadanan dan jaminan kerajaan bagi mengelakkan liabiliti tersembunyi.
''Seterusnya adalah perluasan asas dan kutipan hasil. Menambahkan sumber pendapatan dengan naikkan kadar SST daripada 6% ke 8%, cukai ke atas minuman bergula, barang mewah, dan dividen.
''Kerajaan juga memperkenalkan e-invois dan meningkatkan kecekapan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Kastam.
''Selain itu, Debt Management Office (DMO) juga diperkukuhkan dalam pengurusan pinjaman, termasuk peranan Pejabat Penghubung Pelabur.
''Langkah pengurangan defisit dan peningkatan pendapatan negara telah membantu memperbaiki nisbah hutang kepada KDNK yang kini berada sekitar 62 hingga 64 peratus , sekali gus menurunkan kos perkhidmatan hutang dan meningkatkan penarafan kredit,'' jelas beliau lagi.
Menyimpul kenyataannya, David menegaskan bahawa isu utama yang perlu difahami adalah pelaburan untuk masa depan negara dengan pengurusan hutang berhemah akan menjadi faktor menyokong kepada pemulihan ekonomi.
''Selagi hutang digunakan secara strategik dan disokong oleh reformasi berterusan, ia boleh menjadi alat pembangunan ekonomi yang mampan,'' ujarnya.









Comments