Menempatkan golongan wanita pada posisi tertinggi serta mengangkat keupayaan golongan itu sebenarnya menjadi pendorong kepada kejayaan masyarakat keseluruhannya, demikian menurut Ketua Wanita KEADILAN.
Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan berkata, wanita merupakan asas pembangunan peradaban masyarakat termasuk dalam pendidikan dan pembinaan generasi baharu.
"Wanita adalah kunci kepada pintu peradaban. Tiada peradaban dapat dibangunkan tanpa citra wanita yang berperanan penting dalam pendidikan dan pembinaan generasi.
"Maka, keseluruhan pemberdayaan wanita itu dicitrakan dalam premis ini: “...apabila seorang wanita berjaya, dia mendekati orang di sekelilingnya dan menarik mereka bersamanya.
"Itulah sebabnya jika memperkasakan seorang wanita, anda memperkasakan seluruh masyarakat," katanya dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 hari ini.
Dengan tema “Wanita Dijulang Negara Gemilang”, Fadhlina berkata memposisikan wanita pada kedudukan yang tinggi akan membawa kepada natijah negara gemilang.
Fadhlina berkata secara realiti, wanita kini sudah mula diletakkan pada kedudukan tertinggi dengan ruang-ruang sudah dibuka kepada mereka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan golongan Hawa agar tidak melupakan tanggungjawab asas mereka kepada keluarga bagi mencapai impian dengan menyatakan; "cita-cita harus dimulai dengan wanita yang memasang impiannya tinggi ke langit tetapi kakinya masih terpasak di rumput bumi."
Beliau menggariskan antara impian yang perlu menjadi cita-cita golongan wanita untuk generasi akan datang adalah memastikan anak anak perempuan meneruskan pendidikan tanpa perlu dikahwinkan dalam usia muda, hak mereka dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang, mendapat kesaksamaan dalam segenap ruang kepimpinan demokrasi serta diangkat sebagai penentu hala tuju negara.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga mahu golongan wanita menjadi 'Pahlawan Cinta' iaitu menggunakan kuasa kasih sayang untuk membangunkan segala aspek kehidupan.
"Buat para wanita sekalian, dengan kekuatan sebagai 'Pahlawan Cinta' dan keteguhan mengejar cita-cita, saya sampaikan ucapan “Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2024”
"Sumber kekuatannya adalah “cinta”. Atas dasar itu, seluruh hidup wanita itu adalah seputar membangunkan cinta, menanam cinta dan menyebarluaskan cinta," katanya lagi.
Comments