Jualan Syawal Madani tawar barangan 30 peratus lebih murah
- Suara Keadilan
- Apr 16, 2023
- 1 min read

Semua 113 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang terlibat kempen Jualan Khas Syawal Madani menawarkan pelbagai barangan dengan harga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika melancarkan Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan di Kelana Jaya semalam berkata, kempen membabitkan gerai-gerai FAMA bertujuan meringankan beban khususnya golongan B40 dan M40 yang akan menyambut Aidilfitri minggu depan.
"FAMA di bawah kementerian ini bukan berasaskan keuntungan tetapi lebih kepada berasaskan perkhidmatan dan kita bukan mahu bersaing dengan pasaran luar.
"Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya yang turut dijual di outlet pemasaran ini," katanya.
Kempen Jualan Khas Syawal Madani dilancarkan semalam sehingga 20 April ini memfokuskan kepada jualan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri pada harga yang berpatutan.
Jualan membabitkan Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
Sementara itu, Mohamad turut memberi jaminan bekalan barangan asas seperti telur, ayam dan daging mencukupi menjelang Aidilfitri.
Kementerian juga jelasnya akan mengarahkan FAMA untuk memenuhi bekalan telur jika masih tidak mencukupi.
"Bagi telur import kita bincang dari masa ke semasa. Kalau bekalan telur tempatan pula tidak cukup, kita akan buat keputusan segera untuk memenuhi pasaran.
"Jika keadaan meruncing, kita akan import pada bila-bila masa. Kita sudah buat garis panduan untuk import kalau berlaku kekurangan yang ketara," ujarnya.
Comments