Jualan Rahmah Siswa: Bawa kedai runcit harga diskaun ke kampus


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) maju selangkah lagi dengan penganjuran program Jualan Rahmah Siswa.
Bagi Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh, jualan berkenaan dan Program Advokasi Pengguna Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan hari ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra memberi peluang kepada warga mahasiswa IPTA untuk membeli barang keperluan asas dengan harga mampu milik dan meningkatkan lagi pendedahan berkaitan hak-hak pengguna kepada mereka.
"Program Jualan Rahmah Siswa ini berkonsepkan kedai runcit bergerak ke kawasan kampus yang mana dapat memberi peluang kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi untuk mendapatkan barangan keperluan asas dengan tawaran harga rendah pada potongan harga sehingga 30%.
"Konsep Jualan Rahmah Siswa ini secara tidak langsung dapat meringankan kos sara hidup mahasiswa dan mahasiswi yang sedang menimba ilmu di kawasan-kawasan yang jauh daripada akses pasar raya atau pasar raya besar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kategori barangan yang dijual sepanjang Program Jualan Rahmah Siswa, kata Fuziah, merupakan barangan keperluan harian, barangan kelengkapan dan keperluan diri pelajar serta makanan minuman segera. Antara barangan keperluan harian adalah seperti beras, minyak masak, gula, sardin, sayur, buah-buahan dan susu pekat.
Kategori kelengkapan diri dan keperluan pelajar pula seperti alat tulis, ubat gigi dan berus gigi, sabun, ‘Ridsect dan Aerosol Musquito’ serta ‘Sanitary Pad Whisper’.
Manakala bagi barangan kategori makanan dan minuman segera pula adalah seperti biskut, maggie, vico, susu kotak, minuman isotonik dan bubur cawan.

Menurut Fuziah, sehingga 17 November 2023, Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di 243 lokasi di seluruh negeri Kedah.
Pecahan mengikut model pula, dalam premis sebanyak 45 lokasi, di luar premis sebanyak 46 lokasi dan secara bergerak sebanyak 152 lokasi dengan bilangan pengunjung melebihi 301 ribu orang. Manakala penganjuran PJR di seluruh negara telah merekodkan kehadiran melebihi lima (5) juta orang.
"Kementerian amat berharap dengan inisiatif yang dijalankan ini dapat membantu para mahasiswa dan mahasiswi dalam mendepani kenaikan kos sara hidup di samping merancakkan kembali ekonomi sektor peruncitan," katanya lagi.
Sehubungan itu, KPDN Negeri Kedah merakamkan perhargaan kepada semua pihak yang terlibat memberi kerjasama dalam menjayakan Program Jualan Rahmah Siswa dan Advokasi Pengguna Bersama Institut Pengajian Tinggi kali ini.




Comments