
Inisiatif Jualan Rahmah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan bagi membantu rakyat semakin mendapat sambutan.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan semalam bersama Kerajaan Negeri melancarkan Jualan Rahmah di negeri itu dengan disertai 11 buah pasar raya terkemuka.
Pelancarannya dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar, kanan sekali) dan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh (gambar, tiga dari kanan).
KPDN dalam satu kenyataan berkata, 11 pasar raya yang terlibat ialah AEON Co. (M) Bhd.; Billion Shopping Centre (PB) Sdn Bhd; Econsave Cash & Carry Sdn Bhd; EconMart Sdn Bhd; Family Store Sdn. Bhd; Giant Hypermarket (GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd).
Turut terlibat Jakel Trading Sdn. Bhd.; MYDIN (Mydin Mohamed Holdings Berhad); TF Value-Mart Sdn.Bhd; Tunas Manja Group; dan Zemart Sdn. Bhd.
"4 buah pasar raya yang terlibat dengan Jualan Rahmah ini turut menawarkan Menu Rahmah kepada pelanggan iaitu Pasar raya AEON BIG, Pasar raya Giant, Pasar raya MYDIN dan juga Pasar raya Lotuss," kata kenyataan itu.
Inisiatif ini akan diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 April 2023 secara serentak di kesemua pasar raya yang terlibat.
Ia bagi membolehkan rakyat Negeri Sembilan mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.
"Turut berlangsung adalah Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang merupakan program anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dan Agensi Kerajaan seperti FAMA Negeri Sembilan, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan," ujar kenyataan itu.