Jualan Rahmah Mega Aidilfitri tutup tirai Semarak Ramadan Kuantan 2026
- Suara Keadilan

- Mar 23
- 2 min read

Program Jualan Rahmah Madani Bergerak (PJRMB) Mega Aidilfitri menjadi penutup rasmi Program Semarak Ramadan (PSR) Parlimen Kuantan 2026 yang berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung, baru baru ini.
Program tersebut diadakan di dua lokasi iaitu di Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap Damai dalam DUN Tanjung Lumpur serta di hadapan Pusat Nelayan Pantai Sepat di DUN Inderapura pada 17 dan 18 Mac lalu.
Pengarah PSR 2026 Parlimen Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, berkata penganjuran kali ini menandakan tahun ke-10 program tersebut dilaksanakan sejak 2017.
"Program ini memasuki tahun ke-10 penganjuran dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sepanjang Ramadan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk majlis berbuka puasa di 20 masjid dan surau serta program komuniti seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk.
"Program bersama komuniti turut digerakkan termasuk memasak dan mengedar bubur lambuk serta menyantuni golongan memerlukan," ujarnya.
Beliau menambah, bantuan kepada golongan miskin dan anak yatim turut menjadi fokus utama melalui sumbangan baju raya dan keperluan asas.

Dalam masa sama, program tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan serta Pejabat Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Dalam majlis berkenaan, Dr Fuziah berkata sebanyak 178 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan di seluruh Pahang sepanjang Ramadan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.
"Antara barangan yang mendapat sambutan ialah ayam segar dijual pada harga RM10 seekor dan daging lembu RM25 sekilogram," katanya.
Menurut beliau, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut berpeluang menebus barangan bernilai RM100 setiap bulan melalui program berkenaan.
Dalam program sama, kira-kira 300 keluarga asnaf di Parlimen Kuantan menerima sumbangan zakat wakalah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Secara keseluruhan, PSR 2026 Parlimen Kuantan disifatkan berjaya mencapai matlamatnya dengan memberi manfaat kepada ribuan penerima serta mengurangkan beban perbelanjaan rakyat menjelang Aidilfitri.




Comments