top of page

Jualan Rahmah ditambah baik mulai tahun hadapan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 23, 2023
1 min read


Inisiatif program Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal ditambah baik mulai tahun hadapan.


Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahbaikan itu termasuk merintis Program Pasar Rahmah sebagai antara kaedah memperluas konsep penganjuran Jualan Rahmah selaras dengan manifestasi kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.


Ia jelasnya dapat dilaksana susulan pengumuman peruntukan tambahan RM150 juta bagi kementerian berkenaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024, baru-baru ini.


"KPDN telah mendapat peruntukan sejumlah RM150 juta untuk meneruskan Program Jualan Rahmah pada tahun hadapan.


"Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau yang melihat program ini sebagai antara strategi intervensi dan mitigasi dalam kita menghadapi peningkatan kos sara hidup," katanya dipetik.


Armizan berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Bergerak di Kampung Warisan, Darau, dekat Kota Kinabalu pada Ahad.


Mengulas lanjut rancangan itu Armizan berkata, maklum balas masyarakat daripada semua peringkat terhadap Program Jualan Rahmah adalah baik dan ia terbukti menerusi 2,723 siri penganjuran program itu yang telah diadakan setakat ini di seluruh negara.


"Program Jualan Rahmah dimulakan dalam premis (dan) luar premis, kemudian kita rintis secara bergerak, dengan (barang jualan) boleh diperoleh pada kadar diskaun 10 hingga 30 peratus.


"Tahun depan, kita (KPDN) cuba merintis satu kaedah baru dinamakan Program Jualan Rahmah di Pasar Rahmah sebagai pendekatan menambah baik dan memastikan kebolehcapaian dan keterlihatan program itu dalam kalangan masyarakat," tambahnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page