Jualan Ehsan Rahmah 9.9 diperluas secara online, bantu usahawan kecil - PM


Kerajaan akan melancarkan Jualan Ehsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini selain mahu memanfaatkan platform digital termasuk TikTok Shop bagi memperluaskan sokongan kepada usahawan kecil dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jualan Ehsan Rahmah secara dalam talian itu akan dilaksanakan bersempena sambutan Hari Malaysia 2026 dan dihebahkan secara meluas kepada rakyat.
"Untuk meneruskan inisiatif ikhtiar ini saya nak selarikan peringkat awal dengan Jualan Ehsan Rahmah 9.9 secara dalam talian.
"Jualan Ehsan Rahmah online dan kita akan luncurkan khas. Jadi kena ingat semua boleh gunakan itu dan kita akan hebahkan sepenuhnya," katanya ketika berucap pada TikTok Summit Malaysia 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Ketua Dasar Awam (E-Dagang) ByteDance, Firdaus Fadzil.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif itu merupakan antara bentuk dukungan kerajaan kepada rakyat menerusi penggunaan platform digital yang semakin berkembang.
"Kita akan adakan Jualan Ehsan Rahmah 9.9 dalam talian, online pada 9 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia 2026," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan mahu menyediakan satu saluran yang membolehkan usahawan kecil dan baharu mengemukakan masalah yang dihadapi mereka termasuk dengan memanfaatkan TikTok Shop.
Kata beliau, terdapat ribuan usahawan yang masih mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan perniagaan serta tidak mengetahui saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan.
"Jadi seluruh jentera, nanti saya pastikan supaya ada satu platform TikTok Shop boleh bantu, boleh at no cost to the government [tanpa kerajaan perlu tanggung kos] bantu bagi channel, ada problem ini salurannya kerana itu akan membantu," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha memastikan maklumat mengenai pembiayaan kecil yang ditawarkan pelbagai agensi disampaikan dengan lebih berkesan kepada usahawan.
Menurutnya, antara kelemahan ketika ini ialah maklumat mengenai kemudahan berkenaan tidak sampai kepada ramai usahawan yang memerlukannya.
"Saya akan pastikan supaya ada satu aplikasi tertentu dan jika dapat kerjasama, kita boleh juga bantu salur senarai itu," katanya.
Anwar turut memberi perhatian kepada masalah usahawan baharu yang sukar mendapatkan pembiayaan kerana tidak mempunyai rekod perniagaan atau modal mencukupi untuk memulakan perniagaan.
Menurut beliau, kerajaan mempunyai pelbagai kemudahan pembiayaan melalui agensi berkaitan namun persoalannya ialah sejauh mana peniaga kecil dan perusahaan baharu dapat mengakses kemudahan tersebut.
Beliau berkata masalah rekod perniagaan tidak seharusnya menjadi penghalang mutlak kepada mereka yang baru mahu memulakan perniagaan.
"Bagaimana dengan peniaga-peniaga kecil, bagaimana dengan perusahaan-perusahaan baru? Tanya track record, mana ada track record, baru nak mula. Nak tanya modal, mana nak cari modal. Jadi sebab itu saya nak ada penyelesaian," katanya.
Anwar menjelaskan terdapat kemudahan pinjaman kecil yang tidak memerlukan cagaran atau syarat pengalaman, tetapi mengakui maklumat mengenainya masih tidak sampai kepada ramai usahawan.
Antara institusi dan agensi yang disebut beliau ialah Amanah Ikhtiar, TEKUN, Bank Rakyat, MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
"Sekarang kita ada pinjaman-pinjaman kecil yang tidak memerlukan kolateral ataupun syarat pengalaman. Kelemahan kita ialah maklumat ini tak sampai kepada ramai," katanya.
Sehubungan itu, Anwar mahu maklumat mengenai pelbagai kemudahan pembiayaan kecil dihimpunkan dan dipermudahkan supaya usahawan mengetahui saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan modal.
Beliau turut mencadangkan supaya satu aplikasi khusus diwujudkan bagi membolehkan maklumat mengenai kemudahan pembiayaan disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan berkenaan.
"Saya akan pastikan supaya ada satu aplikasi tertentu dan jika dapat kerjasama daripada Firdaus (ByteDance) kita boleh juga bantu salur senarai itu kepada beliau," katanya.




Comments