Penjualan tanah kerajaan di lokasi strategik oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada NGO kroni Pas bukanlah perkara kecil atau isu yang sengaja disensasikan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai ini.
Bagi Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Adam, dakwaan penjualan tanah berharga RM29.3 juta kepada NGO yang dipimpin isteri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dengan harga RM500,000 telah merugikan rakyat negeri itu.
Lebih menyebalkan, katanya tanah yang sama juga sebelum itu, ketika Pas memerintah pada 1999 - 2004 pernah dijual kepada koperasi pro Pas.
"Menjawab kepada isu ini, Menteri Besar Terengganu dari Pas tidak menafikannya malah menjawab hal itu hanyalah isu kecil.
"Katanya sebab PRN dah dekat semua isu akan keluar, jadi kenapa dia tak jawab kenapa tanah ini dijual dengan harga yang sangat murah dan dijual pula kepada NGO yang diketuai isteri beliau sendiri. Ini jelas penyalahgunaan kuasa.
"Untuk rekod, tanah tersebut pernah diberikan kepada Koperasi Insaf Terengganu Berhad (Koinsaf) milik pemimpin Pas Terengganu dengan harga premium RM550,000 pada tahun 2003 iaitu ketika Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu.
"Ketika BN memerintah, Kerajaan Negeri pada 2005 terpaksa membuat pengambilan balik tanah itu dengan membayar semula kepada koperasi tersebut sebanyak RM 6.7 juta.
"Pas untung atas angin RM6.15 juta. Berapa banyak kali Pas nak buat duit atas angin dari tanah yang sama?" tanya Lokman dalam satu kenyataan.
Beliau bertanya apakah maksud slogan Bersih dan Stabil Perikatan Nasional melihat kepada skandal penjualan tanah berkenaan.
Sedangkan, katanya rakyat dirugikan kerana nilai tinggi yang sepatutnya diperolehi Kerajaan Negeri telah diberi diskaun sehingga 98.2%.
"Memang patutlah Perikatan Nasional menggunakan slogan Bersih dan Stabil, boleh bersih tanah Kerajaan Negeri disapunya.
"Yang sengsara dan rugi ialah Kerajaan Negeri dan rakyat Terengganu. MB Samsuri kena jelaskan kenapa harga yang dijual sangat murah dan bukan hanya memberi alasan ini isu kecil," katanya lagi.
Sinis Lokman, Pas perlulah menunjukkan mereka benar benar bersih sebelum meraih sokongan rakyat pada PRN akan datang.
Comments