Fitnah pembangkang pada 2019 bahawa aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang berhadapan masalah kewangan telah dijual oleh Menteri Kewangan pada waktu itu, Lim Guan Eng kepada pemodal Cina telah terjawab pada 2023, apabila Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan aset berkenaan akan dikembalikan kepada TH.
Bagi mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2018 - 2020, Datuk Seri Mujahid Yusof yang difitnah Pas ketika itu kononnya bersubahat menggadaikan aset TH kepada Cina, hari ini segalanya telah terjawab. Aset TH masih kukuh dalam pegangan Kementerian Kewangan.
Katanya, perjuangan getir menghadapi fitnah dan terpaksa menyaman pemimpin Pas untuk membersihkan namanya kini telah membuahkan kebenaran dengan kenyataan Menteri Kewangan kelmarin.
"Alhamdulillah pada 29 September 2023, PM telah menjelaskan apa yang saya sebut dan pertahankan selama ini, bahawa tujuan perpindahan aset ke SPV (Special Purpose Vehicle) atas nama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah usaha menyelamatkan kewangan TH yang gawat ketika itu, dan kerana tindakan tersebut aset berdaya maju yang lain dapat dijana dan pada tahun berikutnya hibah patuh undang-undang dikeluarkan lebih baik iaitu pada 3.05% dan seterusnya 3.10%.
"Kenyataan PMX menandakan 2 perkara. Iaitu kewangan TH dan pengurusannya berjaya diperbetulkan dan dibaiki melalui pelan penstrukturan semula 2018 - 2020. TH berada di landasan yang betul setelah fasa kritikal 2018 - 2020
"Seperkara lagi, terbenamlah sudah segala fitnah aset TH dijual dan dilelong. Sedangkan selama ini ia berada dalam jaminan selamat kerajaan dan dipegang penuh amanah sebagaimana didedahkan oleh PM dalam majlis sambutan 60 tahun TH," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Naib Presiden AMANAH itu, dengan penjelasan Menteri Kewangan maka alasan beliau untuk memindahkan aset TH pada 2019 ke SPV adalah langkah paling tepat dan terbaik pada waktu itu.
Katanya, ketika mengambilalih sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH, kedudukan kewangan TH dalam keadaan defisit RM4 bilion antara aset dan tanggungan seperti dilaporkan oleh laporan audit 2017.
Pada tahun sama, katanya, setelah dibuat nilai rosot sebenar (impairment) oleh pengurusan baharu, jurang defisit meningkat kepada RM10 bilion.
"Masalah pertama saya ialah bagaimana akan keluarkan hibah (dividen) tahun itu dalam keadaan tanggungan (liability) melebihi aset. Isu kepatuhan akta perlu dipenuhi kerana syarat keluar hibah ditetapkan ialah aset perlu melebihi tanggungan dan perlu ada keuntungan (Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995).
"Kepatuhan kepada akta keutamaan saya, kerana saya perlu lunaskan tanggungjawab kepada seluruh 9 juta pendeposit ketika itu supaya TH patuh undang undang. Sejak 2015 pematuhan kepada Seksyen 22(3)(a) tidak diikuti dan pernah ditegur oleh Bank Negara dan laporan audit.
"Setelah membuat penilian semula semua aset TH maka dikenal pasti nilai semasa aset sakit, antara boleh alih (saham) dan tetap adalah hampir RM10 bilion.
"Kerajaan melalui syarikat SPV di bawah Kementerian Kewangan diPerbadankan kemudian telah menilai harta sakit dengan harga premium RM20 bilion sebagai nilai perpindahan dari TH ke SPV melalui pemberian sukuk," katanya.
Seterusnya, kata Mujahid, SPV menerbitkan sukuk kepada TH dan dengan itu jurang aset dan tanggungan berjaya ditutup dengan lebihan RM1 bilion.
Bagi tahun 2018, ujarnya, hibah patuh undang-undang bernilai 1.25% berjaya diagihkan sejak ia dilanggar pada 2015.
Bagaimanapun, Mujahid terpaksa menghadapi pahit maung kes mahkamah Ust Dasuki dalam isu aset TH dijual kepada Cina yang kemudian berjaya dipatahkan dengan penghakiman peringkat Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
"Alhamdulillah, kita diuji dengan kesabaran untuk mempertahankan kebenaran," kata bekas Menteri itu yang kini adalah Senator Dewan Negara sambil menukilkan ayat Quran surah Al Nahlu : 127 yang menegaskan Allah berfirman, jangan berdukacita terhadap golongan yang degil dan berasa terhimpit disebabkan tipu daya mereka.
Комментарии