Lelong arak: Elak kawasan sekolah disewakan untuk aktiviti kurang wajar
- Suara Keadilan

- Jul 10
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didesak supaya segera mengeluarkan garis panduan jelas berhubung penganjuran aktiviti awam dalam kawasan sekolah, bagi memastikan premis pendidikan terus terpelihara daripada sebarang unsur yang boleh mencemarkan fungsinya.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Sosial Parti Amanah Negara (AMANAH), Azli Yusof (gambar) membuat gesaan itu susulan insiden pergaduhan membabitkan majlis lelongan arak di sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini, yang mengakibatkan 18 lelaki ditahan.
"Amanah melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap insiden pergaduhan yang berlaku dalam kawasan sekolah ini. Kami mengambil maklum bahawa majlis tersebut adalah program tahunan yang dianjurkan bagi tujuan mengumpul dana oleh pihak tertentu.
"Namun penganjuran aktiviti yang melibatkan alkohol di dalam premis institusi pendidikan sehingga mencetuskan kekecohan adalah tidak wajar, malah langsung tidak mencerminkan peranan sebenar sekolah sebagai tempat membina peradaban dan nilai murni," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Shofee Tayib mengesahkan penahanan individu yang terlibat dalam pergaduhan di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) terbabit.
Manakala ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng memaklumkan dewan sekolah berkenaan yang dikendali lembaga pentadbiran sekolah sering disewakan untuk pelbagai acara. Bagaimanapun tiada pelajar atau guru terlibat dalam majlis pengumpulan dana tersebut.
Dalam pada itu, Azli menegaskan bahawa AMANAH tetap berpendirian institusi pendidikan adalah wadah suci yang wajib dipelihara daripada sebarang bentuk unsur yang boleh menjejaskan matlamatnya melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.
"Akhir sekali, kami menyeru semua pihak untuk terus memastikan sekolah kekal sebagai pusat ilmu, pembentukan akhlak mulia dan pemupukan budaya sihat demi masa depan generasi yang sejahtera serta bermaruah," katanya.









Comments