
Pemeteraian perjajian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) menimbulkan rasa ingin tahu meluas dalam kalangan rakyat terutama di Johor mengenai peluang ekonomi yang mungkin memberi manfaat kepada mereka.
Menurut Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, malah pelabur juga turut bertanya mengenai insentif korporat dan peraturan dalam JSSEZ.
Ujar Rafizi, JSSEZ merupakan model kerjasama sama sekali baharu dan belum pernah wujud di Malaysia dan menawarkan peluang yang amat luas kepada sektor koporat, industri mahupun rakyat biasa.
"Pelaksanaan usaha merentas sempadan ini adalah satu langkah besar meninggalkan pendekatan lama. Kita berhenti melihat jiran kita sebagai pesaing.
"Sebaliknya, kita mencari situasi menang-menang yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Mengakui bahawa kekangan yang kita hadapi boleh diatasi jika kita menggunakan kekuatan unik antara satu sama lain," katanya di Facebook.
Selain itu, katanya, JSSEZ juga menyediakan kemudahan pergerakan kira-kira 500,000 individu yang berulang-alik setiap hari merentasi sempadan Johor-Singapura - menjadikannya salah satu sempadan paling sesak di dunia.
Penggunaan kod QR di kedua-dua sisi sempadan, tambah beliau, dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan sehingga ~20%.
Dengan pembinaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang sedang berlangsung, ini akan memajukan infrastruktur pengangkutan dan meningkatkan kesalinghubungan.
JSSEZ juga menyediakan peluang berkembang bagi Johor yang belum sepenuhnya membangun apatah lagi semaju Singapura.
"Selatan Johor adalah kira-kira lima kali lebih besar daripada Singapura. Ia menawarkan peluang kepada syarikat untuk mendapatkan akses kepada tanah yang lebih luas sambil mengekalkan akses kepada ekosistem kewangan Singapura.
"Ditambah dengan pelbagai insentif cukai, ini direka untuk membantu syarikat mengembangkan kehadiran mereka dan kekal berdaya saing," katanya.
Bagaimanapun, kata Rafizi, JSSEZ memerlukan kepimpinan dan keberanian dari kedua-dua Malaysia dan Singapura untuk tidak membiarkan masa lalu menentukan masa depan masing masing.
Katanya, jika JSSEZ mampu mencapai potensi penuh, kerjasama itu boleh menjadi pendahulu kepada integrasi ASEAN yang lebih besar. JSSEZ adalah peluang untuk menjadi pelopor dan meramal gelombang besar permintaan pengguna seterusnya.
Comments