JPM nafi BMW digunakan PM Anwar kenderaan rasmi baharu
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan bahawa kenderaan BMW yang digunakan sementara oleh Perdana Menteri bukanlah kenderaan rasmi baharu, sebaliknya aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA).
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tular berhubung penggunaan kenderaan berkenaan oleh Perdana Menteri.
Menurut kenyataan JPM, kenderaan itu sememangnya disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan ketua-ketua negara dan ketua-ketua kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
"Kenderaan tersebut adalah aset sedia ada milik BIUPA dan bukan kenderaan rasmi baharu YAB Perdana Menteri.
"Ia disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri sempena lawatan rasmi ke Malaysia, selaras dengan keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa," kata kenyataan itu.
JPM berkata, kenderaan berkenaan turut memenuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan bagi melindungi penumpangnya daripada pelbagai ancaman keselamatan.
"Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron," katanya.
Menurut kenyataan itu, penggunaan sementara kenderaan berkenaan oleh Perdana Menteri dibuat atas nasihat dan penilaian keselamatan yang teliti.
"Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kenderaan rasmi YAB Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani penyelenggaraan," kata kenyataan itu lagi.
Pengunaan kenderaan rasmi menjadi isu apabila digunakan untuk politik dan bukan pentadbiran.
Bagaimanapun, bagi seorang Perdana Menteri terdapat keperluan keselamatan khas yang perlu dipatuhi dan tidak mudah untuk menggunakan kenderaan yang disewa di pasaran.



Comments