
Menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa, Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam menganjurkan majlis mengumpul dana melalui program Jom Makan Durian pada 9 Ogos lalu.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Simpang Renggam Firdaus Zainal, program yang bermula pada jam 1.30 itu dihadiri oleh Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik di samping Ketua Cabang KEADILAN Simpang Renggam, Wong Yung Chin dan rakan-rakan dari parti komponen lain.
Kata Firdaus, penganjuran program tersebut selain bermatlamat mengumpul dana, ia juga memberi tahu kepada pengundi bahawa PH Johor masih utuh serta masih menjalin kerjasama dengan anggota Pembangkang yang lain.
"Ucaptama program dilakukan wakil MPN KEADILAN Johor, Zulinah Johari (Timbalan Ketua Wanita Johor), Liew Chin Tong dan Mohamad Sabu yang ditunggu-tunggu untuk mengupas isu politik terkini serta persediaan PRU15 yang dijangka berlaku bila-bila masa. Mereka menyarankan agar PH bersiap siaga," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Firdaus lagi, program berkenaan dimeriahkan dengan persembahan seni pencak silat oleh Kumpulan Silat Homestay Montamah Paiman bagi menyuburkan elemen nusantara budaya Melayu, yang menjadi konsep utama program tersebut.
Para tetamu kehormat dan para pembeli kupon kemudiannya ke laman berdekatan untuk menikmati durian secara pilihan rawak.
Program itu tamat jam 3.30 petang. Program tersebut juga mendapat sambutan baik penduduk setempat yang memberi impak kejayaan penganjurannya.